.:: Ayam Halal ::. - Khamis, 30 September 2004
Orang Malaysia memang suka makan ayam. Kerana faktor "suka" ini, apa sahaja berkaitan ayam, akan jadi topik hangat. Dari hal penyakit, hinggalah kepada soal produk yang dihasilkan oleh ayam.
Terpanggil untuk membicarakan soal ayam halal apabila menonton berita di TV semalam dan membaca blog MBA pagi ini.
Saya memang sudah lama curiga dengan beberapa "cop" tanda halal pada beberapa barangan makanan tertentu. Terutama yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat bernama orang bukan Islam. Sebolehnya, saya hindari dari membeli barangan dari syarikat tidak dikenali tersebut, walaupun terserlah tanda halal pada barangan mereka.
2 hari lepas, kita dikejutkan dengan berita ayam-ayam yang dibekalkan oleh kilang pemproses ayam di Sri Kembangan, Selangor telah dicampur adukkan bersama-sama daging khinzir. Ya Allah, apa yang telah dilakukan oleh golongan tidak bertanggungjawab ini. Serta-merta saya berhenti membeli ayam kerana ragu akan punca ayam tersebut diperolehi. Mengapa perkara sebegini tidak dapat dibendung?
Kalau tanggungjawab untuk mempastikan produk makanan halal ini tidak boleh diuruskan oleh pihak kerajaan, maka sebagai orang Islam, kita tidak boleh berpeluk tubuh menunggu tindakan selanjutnya. Kita patut cari penyelesaian yang lebih pragmatik dan praktikal untuk membanteras permasalahan ini. Saya pernah dengar, walaupun kita membeli ayam dari penjual orang Islam, tidak semestinya ayam tadi dibekalkan oleh orang Islam juga.
Saya lawati laman E-Halal yang ditadbir oleh JAKIM. Memang ada kemudahan untuk memeriksa senarai produk yang mendapat sijil halal. Cuma, agak tidak kemas dan tersusun. Alangkah baiknya jika ada cara lebih mudah untuk melakukan carian, iaitu menggunakan no sijil halal contohnya. Adakalanya, kita hanya ingin dapatkan kepastian untuk satu produk sahaja, bukan untuk semua senarai lain (juga berguna, tapi tidak pada waktu itu).
Kemudahan pemeriksaan melalui SMS juga patut diwujudkan, dengan caj percuma!. Ini fardhu kifayah, kenapa perlu caj untuk perkara yang hak. Rasanya Pusat zakat boleh taja kemudahan ini sebagai satu aktiviti "fisabilillah" (pendapat saya).
~md - kena makan sayur ajelah nampaknya
.:: Kawan ::. - Rabu, 29 September 2004
Petikan dari satu email yang diperolehi hari ini.
Kawan di akhir zaman ini
Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Yang benar-benar sibuk
Dengan urusan baiki diri nya
Yang ada kini hanya
Sibuk dengan urusan mengumpul dunia
Walau di ketahui dunia ini hanya menipu daya
Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Yang bergelumang dengan majlis ilmu menafaat
Yang sanggup bersusah dan penat
Dalam mengejar dan memahami ilmu menafaat
Yang ada kini hanya lah
Berbangga dengan ijazah yang menjela
Tapi ilmu fardhu Ain nya kosong belaka
Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Ahli professional yang bertaqwa
Yang benar-benar meletakan Islam di jiwa
Mengunakan profession nya sebagai matlamat ke akhirat sana
Yang ada hanya ahli professional yang lalai dan leka
Yang hidup nya lebih barat dari barat
Ibadah dan amal terasa amat berat
Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Yang bersilaturrahim kerana tiada kepentingan
Yang berhubung hanya niat bertanya khabar
Yang ada hanya
Yang berkroni untuk mendapat projek yag sedia ada
Bersahabat untuk mendapat laba
Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita temui
Yang suka berbincang mengenai dosa-dosa sendiri
Yang menghidupkan ilmu yang ada
Yang mensyiarkan Islam pada diri mereka
Yang ada hanyalah
Yang suka berbincang dosa-dosa orang lain
Yang menghidupkan sunnah barat
Yang melupakan kehidupan akhirat
Kawan di akhir zaman ini
Susah untuk kita temui
Yang menjadikan masjid tempat pertemuan
Yang menjadikan program usrah tempat berkenalan
Yang ada hanya
Yang menjadikan komplek tempat membuang umur
Yang menjadikan disko dan pesta sebagai tempat berhibur
Kawan di akhir zaman ini
Susah untuk kita temui
Yang menjadikan sunnah sebagai hiburan
Menjadikan nasyid nyayian harian
Menjadikan selawat ucapan kelaziman
Yang ada hanya
Artis di jadikan bahan pujaan
Nyanyian melalaikan di jadikan hiburan
Dianggap moden dan berketrampilan
Kawan di akhir zaman ini
Susah untuk kita temui
Yang senantisa merasai mati itu sangat hampir
Yang senantiasa merasai jelingan Izrail
Menangis cemas mengenangkan saat kematian
Merintih sayu mengenangkan persediaan
Yang ada hanya
Yang panjang angan-angan
Mengumpul dunia kerja seharian
Seolah kematian itu sangat jauh
Seperti alam barzakh itu tidak di tempuh
~md - Terima kasih Kak & Gee for the wish!
.:: Perangkap ::. - Selasa, 28 September 2004
Sejak akhir-akhir ni, kerap juga saya menerima surat dari syarikat kad kredit saya yang menawarkan pelbagai "kemudahan" kepada ahli.
Pertama, pilihan untuk tidak membayar caj semasa bagi bulan ini, sebaliknya ditunda 2 bulan lagi. Hmmm... mencurigakan. Apa faedahnya kalau bank tersebut sediakan pilihan ini?.
Kedua, kemudahan untuk membuat pinjaman tunai sehingga paras maksima kelayakan kredit kita (100%) dengan faedah tahunan 6.8%. Hmm... ini lagi satu, apa muslihatnya.
Ketiga, (ini sudah biasa), tidak perlu bayar penuh setiap caj bulanan, cuma perlu bayar 5% sahaja.
Saya rumuskan, kesemua "taktik" di atas adalah untuk memerangkap saya dan pengguna lain yang sering melangsaikan terus caj bulanan tanpa perlu membayar "interest" agar mula "menyumbang" kepada situasi sedemikian - berbelanja, duit tak cukup, bayar faedah.
Kad kredit bukan lesen untuk berbelanja sesuka hati, tapi lebih kepada kemudahan yang praktikal, di mana kita tidak perlu membawa tunai yang banyak apabila berada di luar. Gagal untuk disiplinkan diri untuk menyelesaikan "hutang" bulanan, nahas dibuatnya!.
~md - senang buat isi petrol dan bayar groceries
.:: Terlajak Perahu ::. - Jumaat, 24 September 2004
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Pepatah di atas ada betulnya. Apabila kita berkata-kata, seharusnya kita berhati-hati dengan setiap tutur kata yang dikeluarkan. Kadangkala, tanpa kita sedari, kata-kata kita boleh menikam hati seseorang dan mencabar ego mereka. Oleh kerana itulah, ada pepatah lain menyebut "fikir masak-masak", "sudah terhantuk, baru tergadah", "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya", "yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang elok itu budi, yang indah itu bahasa" dan sebagainya.
Disebalik menyelami maksud-maksud peribahasa Melayu yang mempunyai falsafah dan pengajaran yang tinggi itu, kita harus lebih peka dan sedar dengan tutur kata dan bual bicara yang melibatkan orang lain. Seandainya boleh dibeli masa, ingin rasanya saya perbetulkan kesilapan tutur kata yang telah mengguris hati saudara-saudara seIslam kita. Semoga yang baik itu sentiasa menjadi amalan kita, yang fasik dan mungkar itu menjadi kebencian hati (iman) kita.
~md - tak suka mesyuarat sebelum solat jumaat!
.:: Menunggu ::. - Isnin, 20 September 2004
Anda tentu biasa menunggu. Tunggu bas (LRT dan yang sewaktu dengannya), tunggu gaji, tunggu tunang (kekasih, suami/isteri dan yang sewaktu dengannya), tunggu durian gugur dan bermacam-macam lagi.
Biasanya menunggu menuntut kesabaran. Implikasi kepada menunggu terlalu lama amat hebat risikonya. Tempiasnya boleh terkena kepada orang yang tiada langsung dalam "skrip" menunggu tersebut. Darjah kesabaran menunggu berbeza-beza antara satu sama lain. Juga bergantung kepada "subjek" yang ditunggu.
Hehehehe.. (baiklah, terus kepada perkara sebenar). Saya sebenarnya bosan menunggu seorang pegawai kaunter perkhidmatan pelanggan di salah sebuah bank terkemuka di ibu negara. Saya ingin bertanyakan soalan mudah sahaja, "bolehkah saya tulis di atas cek perkataan "cash" memandangkan telah keluar arahan bank tersebut tidak menerima cek sedemikian". Malangnya dalam laman web bank berkenaan, tiada penerangan terperinci.
Ketika itu, ada seorang pelanggan yang sedang mendapatkan perkhidmatan dengan beliau. Saya duduk di sofa - menunggu. Setelah lebih 5 minit duduk, saya lihat pelanggan tadi tidak berganjak, alamak, mereka berdua dah mula senyum-senyum dan bergelak ketawa pulak. Dah masuk 10 minit, masih sama, ada lagi cerita (tak taulah kalau berkenaan urusan bank).
Masuk minit ke 15, saya bingkas bangun, dan terus menuju ke kaunter berkenaan. Cuba mengawal perasaan tidak puas hati kerana menunggu "orang berborak", saya terus tanyakan soalan tadi. Saya hanya hendak dengar beliau katakan boleh atau tidak sahaja. Jawapan diperolehi sebelum beliau menyudahkan ayat terakhir, saya sudahpun berlalu dengan ucapan terima kasih yang paling ringkas.
Mungkin sikap orang IT macam ini. Semua hendak pantas, tepat dan efisien. Bila ada "acara-acara" yang lembap sebegini, memang saya tidak berapa berkenan.
~md - lebih suka guna electronic banking
.:: Dosa Kering ::. - Selasa, 14 September 2004
Saya tak tahu dari mana dan siapakah yang mencipta terma "dosa kering". Definisi umumnya (bukan dari Kamus Dewan) ialah perbuatan yang mendatangkan dosa tanpa disangka-sangka walaupun perbuatan itu tidak disengajakan.
Contoh, waktu makan tengahari, rakan-rakan bercerita tentang keburukan orang lain, di mana kita mengenali "si polan" yang diceritakan itu. Secara tak semena-mena kita pun "tersampuk" perbualan tersebut dengan meng"ia"kan kutukan yang diajukan. Nah, terpalitlah "dosa kering" itu tadi. Bukankah mengumpat saudara seIslam adalah satu dosa?.
Kadang-kadang sudah menjadi satu budaya masyarakat kita, apabila berbual, mesti ada bahan kutukan dan cacian kepada seseorang. Mengapa kita tidak cuba menggunakan kesempatan itu untuk berbual sesuatu yang berfaedah. Jika bukan soal berkaitan agama sekali pun, ada lagi topik lain yang lebih mencabar minda dan menuntut penggunaan akal, jiwa dan iman. Saya tidaklah pandai (dan kadang-kadang sama macam orang lain juga - mengumpat), tapi rasanya jika kita mula menghentikannya, mudaha-mudahan orang lain juga sama.
Sikap bercerita keburukan orang lain ini amat bahaya. Ianya boleh menyebabkan pecah-belah dalam masyarakat. Masalah utama ialah, si "pencerita" tidak berani bersemuka dengan "bahan cerita"nya untuk menyatakan ketidakpuasan hatinya. Maka cara paling mudah ialah, mencerca "bahan cerita" tadi di belakangnya.
Jika "wabak" ini sudah sebati dalam budaya hidup orang kita, usah diharap untuk jadi negara maju. Fizikal mungkin maju, tapi jiwa dan mental masih di tahap dungu!.
~md - kempen hentikan "dosa kering" sedunia :-)
.:: Happy Birthday Akmal! ::. - Khamis, 9 September 2004
Pejam celik, pejam celik, Akmal dah pun setahun!. Anak ke 4 saya ni lahir sewaktu isteri saya sibuk dengan "dissertation" masters beliau sewaktu di Lancaster. Disebabkan kesukaran untuk menguruskan Akmal dan juga dalam waktu yang sama kesibukan menyiapkan tesis, pihak Universiti memberi kelonggaran kepada isteri saya menghantar dissertation tersebut tahun ini.
Waktu tu, memang mencabar. Kami mesti pulang ke tanah air akhir September (tapi berjaya ditangguhkan ke Oktober), passport Akmal perlu diuruskan di London, tempoh sewaan flat tamat bulan itu, barang-barang perlu dikemaskan dan urusan packaging perlu dibuat, dan yang paling kritikal ialah apa akan jadi pada dissertation isteri saya. Bayangkan waktu itu, semuanya perlu diuruskan dengan isteri saya masih dalam pantang, anak-anak lain yang masih belum "100%" dapat berdikari, kami anak-beranak terpaksa berkorban tenaga dan usaha untuk mempastikan semuanya beres.
Teringat lagi pengalaman pergi ke London untuk uruskan passport Akmal. Kami bertolak menaiki keretapi dari Lancaster seawal pukul 4 pagi, untuk mempastikan tiba di London sebelum pukul 9 pagi. Waktu tu, Faiz demam. Isteri saya tidak boleh berjalan "kasar" sangat, maklumlah dalam pantang. Memandangkan kami tidak biasa ke London sebelum ini (asyik terperap di lancaster :)), kami memilih cara termudah untuk ke Belgrade Square, iaitu menaiki "tube". Masa pergi masih OK, sebab waktu "puncak" telah lepas, jadi tak berapa ramai penumpang. Tapi waktu pulang, kami terhimpit dan anak-anak mula menangis. Panjang lagi cerita "mencabar"nya, tapi saya tak pandai bercerita :-).
Alhamdulillah, semalam dissertation tersebut telahpun dihantar, dan moga-moga semuanya baik. Mungkin Akmal tidak boleh makan kek "spiderman" lagi tahun ni, tapi tidak bermakna abah, ummi dan abang-abang akmal tidak akan meraikannya!. Nanti kita lihat apa surprise present dari ummi :-).
Happy birthday Akmal!
~md - kalau ada rakan2 dari Lancaster membaca, terima kasih atas setiap bantuan yang dihulurkan sewaktu kami di sana. Mudah-mudahan Allah membalasnya sebagai amal soleh.
.:: Tunggu Sekejap ::. - Isnin, 6 September 2004
Kita sering merungut banyak kerja. Merungut letih, pening dan tertekan dengan bebanan kerja dan masalah lain yang dihadapi sehari-hari. Agaknya mengapa situasi ini sering menimpa kita? adakah kerana kita tidak pandai menguruskan waktu dan keutamaan tugas (job priority) atau kita suka terpaksa menangguhkan kerja?.
Situasi menangguhkan kerja akan memberi kesan kepada "si pemberi kerja" (dirujuk sebagai SPK) dan kepada "si penangguh kerja" (dirujuk sebagai STK). Jika SPK menganggap bahawa kerja yang telah diberikan tadi akan dibuat dengan jayanya oleh STK, jangan terlalu yakin. Ada kemungkinan kerja tadi tidak disentuh pun :-). Bila ditanya sudah siap?, "sikit lagi encik, saya sedang "perkemas"kan beberapa perkara". Hakikatnya, STK telah abaikan amanat tadi.
Inilah natijah daripada sikap "ahh nantilah.., tunggu sekejap lagi, senang aje tuu..., esok-esok boleh buat". Kalau acap kali diamalkan sikap sebegini, ada harapan STK jadi "pekerja contoh", contoh untuk dibuang atau dipindahkan ke jabatan lain. SPK pula, ada harapan jadi ketua "pujaan", anak buah "puja" supaya tak teringat nama mereka untuk diberikan tugas! :-).
Bila kerja dah makin banyak, makin bertambah bingunglah memikirkan bagaimana untuk menyelesaikannya dalam waktu yang terhad. Kita perlu mempunyai disiplin yang baik untuk menguruskan setiap tugasan dan kerja-kerja yang perlu dilaksanakan oleh kita. Jika tidak, kita akan terbelengu dalam perangkap masa dan "dateline" yang tidak mampu dipenuhi. Pelbagai pendekatan dan teknik yang boleh diambil untuk menyusun jadual kerja dan masa harian kita dengan baik, contohnya penggunaan alatan (tool) atau aplikasi seperti PDA, web organiser, atau paling mudah "buku 555" yang disimpan di dalam kocek. Ringkasnya, pengurusan masa dan produktiviti kerja amat berkait rapat dengan disiplin dan komitmen kita untuk mematuhinya.
~md - memang seronok kalau dapat tangguhkan kerja :-), kalau cekap tak apa, sempat saja siapkan, kalau tak? menjawabla...
.:: ICT untuk golongan Elit? ::. - Jumaat, 3 September 2004
"The requested resource is in use." Saya tekan "refresh" sekali lagi. "The requested resource is in use."
Mesej di atas saya dapat bila ingin melayari laman "utusan.com.my". Wah, ini "kesan" pertama yang saya lihat pagi ini (selain dari ramai yang kelihatan pegang "paper" hari ni). Seperti zaman-zaman "reformasi" dahulu, laman-laman web tertentu memang tinggi kadar capaiannya. Hinggakan ada yang perlu buat "mirror sites".

Saya pernah terlibat secara langsung dalam projek MSC pada tahun 1997 hinggan tahun 2000. Bahagian tempat saya bertugas memang bertanggungjawab merangka dan membangunkan infrastrutur telekomunikasi MSC. Pada masa itu, selut dan ladang kelapa sawit yang masih belum ditebang menjadi pemandangan biasa bila "site visit" dibuat. Namun hari ini, jauh sekali perubahannya (dari segi fizikal).
Persoalannya, adakah perubahan ini juga berlaku dari segi ekonomi, sosial dan politik?. Apakah impak paling besar yang kita rasakan telah memberi faedah kepada kita yakni rakyat biasa. Apakah pula perancangan dan usaha kita untuk mencari manfaat dari MSC?.
Sambil-sambil bersiap untuk bekerja pagi ini, terdengar pembaca berita TV menyebut "ICT bukan untuk golongan elit sahaja". Apa maksudnya tu?. Adakah sekarang ini, hanya mereka yang berstatus elit sahaja yang dilihat menggunakan kemudahan ICT. Jika ini benar, ada satu lagi terma yang menarik untuk dibincangkan - "jurang digital". Nanti kita cerita lagi...
~md - tau ada seorang "rakan" yang "terkehadapan" dalam memanfaatkan ICT. Siap satu rumah anaknya jadikan "hotspot" :-)
Berita yang diperolehi pagi ini menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun dibebaskan oleh Makhamah. Berita sepenuhnya dari Bloomberg dan BBC.
Bursa Malaysia menokok 2.3 peratus kepada 847.22 mata sejurus keputusan tersebut dibuat. Langkah ini dilihat oleh penganalisa ekonomi sebagai kesinambungan langkah-langkah yang telah diambil oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan perubahan dalam cara-kerja kakitangan kerajaan dan swasta, menghapuskan rasuah dan menggalakkan pelaburan dari dana luar.
Khabarnya, Datuk Seri Anwar telahpun diterbangkan ke Jerman untuk menjalani pembedahan bahagian belakangnya yang telah tertangguh.