Blog Kegemaran

  • The Reader
  • Organised Chaos
  • Sangkelate
  • AnA
  • Ummi
  • MBA
  • Sarini's Space
  • Malaysian Idiot
  • Pok Ku Bustaman
  • jiwarasa
  • Sekuk
  • Sham
  • WiraOne
  • Latif's Portfolio

    Arkib

    2006:

  • Blog Baru
  • Post Terakhir| Jan|

    2005:

  • Nov| Okt|
  • Sep| Ogo| Jul
  • Jun| Mei| Apr
  • Mac| Feb| Jan

    2004:

  • Dis| Nov| Okt
  • Sep| Ogo| Jul
  • Jun| Mei| Apr
  • Mac| Feb| Jan

    Pautan Berguna

  • Fadhilat Amalan
  • Perisian Islam

    Pautan Menarik

  • Photo Realism Art
  • Emotion Eric

    Produk Rakan-Rakan

  • Knowledge Mgmt.
  • Workflow System
  • SMS Service
  • Web Development
  • IT Security


  • .:: Pena Maya Mencoret ::.
    "Tanggungjawab adalah cabaran, bukan masalah!"


    .:: Nilai 1 Sen ::. - Khamis, 28 Oktober 2004

    Harga minyak naik telah diketahui umum. Begitu juga dengan harga barangan dan perkhidmatan lain yang menggunakan minyak atau gas, pun naik. Kalau minyak naik 20 sen, harga barangan tersebut pun naik 10 hingga 20 sen seunit. Bayangkan kalau dahulu burger sebiji harganya RM1.50, tetapi 2 hari lepas saya beli dengan harga RM1.70. Wow, ambil kesempatan nampak.

    Mari belajar matematik. Kenaikan harga satu tong gas ialah RM1.00, tapi harga burger telah dinaikkan 20 sen sebiji, patut ke?. Saya buat andaian mudah sebegini. Satu tong gas dapat memasak 100 biji burger. Harga lama burger = RM1.50, harga baru = RM1.70. Kenaikan kos satu tong gas = RM1.00.

      Untung Kasar Lama = 100 x 1.50 = RM150.00

      Untung Kasar Baru = 100 x 1.70 - 1.00 (kenaikan harga gas) = RM169.00

      RM19.00 pertambahan keuntungan apabila harga burger naik 20 sen.

      Kalau untuk "cover" kos kenaikan harga gas tersebut, peniaga hanya perlu tambah 1 sen sahaja pada harga baru = RM1.51

      100 x 1.51 - 1.00 = RM150.00

    1 Sen Mungkin juga penjual tadi akan berkata, harga bahan-bahan lain juga naik encik, mentimun naik, burger naik, sos naik, mayonis naik, minyak kereta saya nak pergi beli barang naik, dan bermacam lagi. Apa pun, kalau naikkan 5 sen sekalipun, masih lagi menguntungkan dan pembeli tidak akan merungut.

    Di UK, mereka masih lagi meletakkan harga barang dengan nilai-nilai ganjil, seperti 19pence, 29pence, 35pence, 2.19pence dan sebagainya. Nilai 1 sen masih lagi relevan, tetapi tidak di negara kita. Apabila harga barangan meningkat, maka kuasa beli duit kita menurun, inflasi akan berlaku. Siapa yang untung?, sebagai pengguna, kitalah yang rugi. Mungkinkah peniaga kita MALAS mengira baki apabila melibatkan urusniaga bernilai "ganjil"?.

    Mungkin pakar-pakar ekonomi kita boleh mengulas lebih baik akan topik ini. Ini hanyalah ulasan saya yang tak tahu apa-apa pasal ekonomi :-).

    Selamat menggunakan duit 1 sen!.

    ~md - biasanya di pasaraya sahaja yang ada barangan berharga ganjil


    .:: Mari Menulis ::. - Ahad, 24 Oktober 2004

    Pernah anda dengar bekas PM kita ada "buku kecil" dalam poket beliau?. Kalau beliau membuat lawatan ke lokasi-lokasi tertentu (jabatan, tapak projek, acara, dan sebagainya), beliau akan mencatat sesuatu di dalam buku kecil tersebut. Bila mesyuarat jemaah menteri diadakan, beliau akan buka "buku kecil" tersebut. Kebanyakan mata-mata di sekitar beliau akan mula mengecil dan tunduk ke bawah :-).

    Sekarang ni, "buku kecil" sudah ada versi elektronik (di baca PDA). Mudah sungguh untuk mencatat apa sahaja yang terlintas di fikiran. Tidak perlu khuatir kehabisan "kertas", cuma perlu tambah "kapasiti ingatan" sokongannya sahaja. Tapi, saya masih tidak memiliki "buku kecil elektronik" ini, janganlah ketawa jika saya katakan saya masih suka pakai buku kecil yang muat di dalam poket. Ringan, tidak perlu cas bateri, boleh koyakkan untuk berikan nota kepada rakan, dan MURAH :-).

    Mungkin satu hari, teringin juga. Apa yang saya ingin kongsikan ialah, kita tidak boleh mengingati (menghafal) segala-gala yang terlintas di fikiran. Kadangkalaapa yang terlintas itu tidak lagi akan datang buat satu jangkamasa yang lama. Bagi penyelidik (researcher), idea datang tidak kira masa dan tempat. Jika mereka gagal untuk mencatat idea tersebut, rugilah mereka. Saya pernah kenal seorang rakan sewaktu di Lancaster, yang menulis idea tersebut di atas cebisan-cebisan kertas. Sewaktu membantu beliau berpindah, beliau cukup teliti mengumpulkan cebisan kertas tersebut agar tidak hilang.

    Menulis juga menjadikan minda kita kreatif. Apa yang dibaca, dialami, dipelajari dan dilihat boleh menjadi bahan tulisan. Mengasah bakat menulis memerlukan kesabaran dan komitmen. Tidak perlu takut jika tulisan kita itu tidak berkualiti, yang penting kita belajar sedikit demi sedikit sehinggalah kita dapat menguasai kemahiran yang baik untuk menulis.

    Di Malaysia, masih banyak lagi bahan rujukan yang belum diterjemahkan, atau dikarang dalam bahasa kita. Walaupun kerajaan sedang menitik beratkan penggunaan Bahasa Inggeris di dalam pembelajaran, ini tidak bermaksud kita perlu mengetepikan fungsi Bahasa Malaysia sebagai medium pembelajaran dan pembangunan ilmu. Jika ramai yang dapat menaburkan bakti menulis sesuatu yang berfaedah (ilmiah), mungkin lebih ramai khalayak masyarakat dapat membaca bahan-bahan yang mudah untuk mereka fahami. Kemudian, apabila minat membaca mereka telah subur, harap-harapnya mereka akan mempelbagaikan bahan bacaan dalam bahasa lain pula. Ini adalah tanggungjawab kita.

    Selamat menulis.

    ~md - masih bertatih


    .:: Mari Membaca ::. - Sabtu, 23 Oktober 2004

    Saya diberi sebuah buku oleh boss minggu lepas. "Baca ni, return to me in few days".

    Tajuk buku "Creating Champions" oleh Betska K-Burr. Masih belum habis, kandungannya memang menarik, antara yang melekat dalam kepala sekarang ni, "when your staff succeeds, so do you".

    Membaca memang penting untuk kita maju ke hadapan. Ilmu yang dipelajari dari bahan bacaan kadangkala mengesahkan apa yang kita lakukan, kadangkala memperbetulkannya. Membaca membuatkan kita berfikir, cuba memahami dan mengaitkan bahan yang dibaca dengan apa yang cuba disampaikan oleh penulis. Secara tidak langsung pelbagai pengalaman baru dapat dikecapi secara maya (akal menampilkannya dalam konteks yang berkait) dan secara fizikal (melalui perbuatan atau amalan yang dipraktik).

    Jika tidak dapat membaca banyak, jadikan amalan untuk membaca secara berkala. InsyaAllah, akan ada manfaatnya. Bacalah apa sahaja, Al-Quran (dan terjemahan), buku, majalah atau artikel mudah. Sesungguhnya, ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah menggesa baginda untuk "membaca". Pasti ada hikmah yang besar yang cuba disampaikan kepada manusia terhadap amalan ini.

    Selamat membaca.

    ~md - baca blog pun dapat banyak maklumat


    .:: Lekat ::. - Jumaat, 22 Oktober 2004

    Pernah anda terlekat?. Lekat biji rambutan ke, biji durian ke (hoh, ada ke orang lekat biji durian?), lekat duit syiling ke (masa kanak-kanak), lekat tulang dan bermacam lagi.

    Lekat bukan sahaja bila makan. Bila berjalan pun boleh lekat. Bukan kerana jalan yang dilalui sempit. Bukan kerana jalan terlalu banyak kereta. Semuanya gara-gara longkang tersumbat.

    Semalam, KL dihujani limpahan air dari langit, rahmat Allah. Tapi gara-gara kelemahan manusia menguruskan projek infrastruktur, rahmat menjadi musibah. Jalanraya dipenuhi air. Kenderaan terperangkap dan "lekat"!. Memang dugaan Ramadhan agaknya. Sehingga waktu berbuka tiba, air masih tidak surut, muslimin yang ada bekalan makanan, berbuka dalam kenderaan, yang lain, berdoa tanpa juadah untuk dijamah. Jarak simpang untuk masuk ke rumah tak sampai 15 meter, tetapi lebuhraya baru ini (SILK) perlu buat "U-Turn" untuk ke simpang tersebut. Malangnya lokasi tempat "U-Turn" pulak ditenggelami air.

    Banyak sungguh isu berkaitan fungsi Jabatan Kementerian Kerja "Raya" akhir-akhir ini. Termasuklah isu bagaimana sistem perparitan di lebuhraya baru boleh tersumbat?. Saya fikir, lain kali kena bawa bot pelampung dalam boot kereta. Manalah tau kalau terlekat lagi, boleh mendayung ke seberang sana.

    ~md - kesian tengok ramai terkandas dekat waktu berbuka semalam


    .:: Singgah Sebentar ::. - Khamis, 21 Oktober 2004

    Jika kita berjalan (berkenderaan) jauh, pasti kita gemar untuk singgah sebentar di lokasi rehat di tepi-tepi jalan (lebuhraya). Semua penumpang kita juga biasanya akan menyokong penuh bila kita berhenti. Dapatlah menghirup minuman segar di gerai atau kiosk stesen minyak, ibu menukar lampin anak, yang lain dengan cara masing-masing untuk merehatkan diri.

    hentian persinggahan Perjalanan berikutnya pasti lebih menyeronokkan setelah dapat berehat dan melegakan tekak sebentar tadi. Ini yang biasa kita lakukan saban waktu.

    Dalam hidup juga, kita sering singgah sebentar di beberapa lokasi perjalanan. Tempat persinggahan kita untuk perjalanan ke akhirat ialah dunia. Umpama ketika dalam perjalanan berkenderaan, tempoh singgah adalah subjektif. Kadangkala ditentukan oleh situasi dan keperluaan tertentu, kadangkala tepat dan boleh dijangka (contoh bas ekspress berhenti rehat).

    Tempoh masa persinggahan kita di dunia ini bukan boleh ditentukan oleh manusia, juga bukan ditentukan oleh faktor keadaan dan kehendak. Semuanya telah ditetapkan oleh Allah azzawajalla. Kita yang sedang singgah sebentar ini haruslah faham bahawa perjalanan akan diteruskan.

    Apabila perjalanan ke destinasi seterusnya bermula (alam barzah), tiada lagi masa-masa emas untuk digunakan untuk menguatkan diri (amalan baik) untuk di bawa bersama. Kelak di hari perhitungan, moga-moga kita akan "sampai" dengan keadaan yang baik, insyaAllah.

    ~md - sekadar ingatan bersama


    .:: Tangisan Ramadhan ::. - Isnin, 18 Oktober 2004

    Pagi semalam ke hospital KL. Matlamat untuk menziarahi sepupu yang dimasukkan ke wad ICU neurologi. Sampai lebih kurang pukul 11 pagi, tetapi terpaksa menunggu waktu melawat pada pukul 12.30 tengahari.

    menangis Di luar wad, ramai saudara mara yang saya tidak cam (tak kenal) dengan wajah sugul. Sepupu "ipar" (tak tahu rujukan untuk sepupu isteri) saya mengalami pendarahan salur darah di bahagian otak, disyaki kerana tekanan darah yang terlampau tinggi. Beliau dalam keadaan koma, doktor yang merawatnya memberitahu tiada cara untuk mengubati masalah ini. Dibedah, risikonya besar, tidak buat apa-apa juga risikonya besar - yakni kehilangan nyawa.

    Abang sulungnya yang mendengar perkhabaran dari doktor menerpa keluar dari bilik ICU. Mak long didakapnya, tangis sedu kedengaran, percakapan bercampur baur dengan esakan. Orang tua menangis. Mungkin tidak betah bagi situasi biasa, tapi kali ini, tangisan ini tanda simpati dan kesedihan menerima berita pilu sebentar tadi.

    Saya hanya terpegun, tiada kata dapat dilafazkan, mata masih lagi tepat memandang aksi memilukan itu. Hanya mampu mendoakan agar yang terbaik dari Allah untuk hambaNya yang kerdil, terlantar koma di katil hospital. Andai ada sekelumit simpati dari semua yang membaca untuk mendoakan agar saudara saya ini diberikan sembuh atau diringankan derita beliau, moga-moga Allah memberikan rahmat dan kesudahan yang terbaik buatnya.

    19 Oktober 2004, catatan tambahan:

    Beliau telahpun pulang ke rahmatullah semalam. Al-fatihah.

    ~md - rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5!


    .:: Masjid Jamek KL ::. - Jumaat, 15 Oktober 2004

    masjid jamek Masjid Jamek Kuala Lumpur memang terkenal. Tempat pertemuan sungai Klang dan sungai Gombak. Stesen LRT tersohor, menemukan dua sistem LRT STAR dan PUTRA. Hiruk pikuk deruman kenderaan dan manusia bertebaran. Tempat solat Jumaat saya dan rakan-rakan sepejabat yang lain.

    Tahun ini, masjid jamek KL akan melakarkan satu catatan baru dalam hidup saya. Bukan untuk datang bersembahyang Jumaat, InsyaAllah untuk solat sunat hari raya. Arahan telah dikeluarkan untuk melakukan "system maintenance" pada malam hari raya (cuti umum). Biasanya akan dimulakan pada pukul 10 malam, tamat pukul 7 pagi keesokannya.

    Masih tak tahu nak maklumkan kepada mak di kampung. Pasti kecewa bila saya katakan rancangan untuk bersama-sama keluarga sebelum hari raya terpaksa di buat tanpa saya dan anak isteri. Yang pasti, duduk di dalam negara tidak semestinya boleh berhari raya di kampung. Sabar aje la....

    ~md - kalau ada stesen TV nak rakam ucapan dari mereka di "perbatasan" boleh hubungi saya :P


    .:: Gema Ramadhan 1 ::. - Rabu, 13 Oktober 2004

    diambil dari satu email oleh seorang rakan pagi ini

      Assalamua'alaikum w.b.t.,
      
      Alhamdulillah, sekali lagi kita Insya Allah akan dipertemukan dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak. 
      Bulan yang penuh dengan keberkatan dan terdapat di dalamnya Lailatul Qadar. 
      Bulan yang mana kebiasaannya rumah-rumah Allah  sentiasa kosong akan dipenuhi oleh tetamu-tetamu Allah. 
      Bulan yang siangnya, makanan yang halal menjadi haram untuk dimakan. 
      Bulan yang mana berpusu-pusu orang Islam menjalankan perniagaan serta mendapat keuntungan yang 
      melimpah ruah. Dan bermacam-macam lagi. Itulah kehebatan bulan Ramadhan.
      
      Terdapat beberapa golongan yang akan menyambut Ramadhan dengan pelbagai reaksi. 
      Ada yang tidak sabar menyambut Ramadhan. Ada yang gusar serta resah dengan ketibaan Ramadhan. 
      Ada pula yang buat tak kisah aje dengan kehadiran Ramadhan seolah-olah Ramadhan adalah sama seperti 
      bulan-bulan lain. Golongan yang tidak sabar menyambut Ramadhan akan terpecah kepada dua kumpulan iaitu 
      kumpulan yang tidak sabar-sabar untuk menambahkan ibadah demi mengejar tiga bentuk kurniaan Allah 
      bertepatan dengan pembahagian 10 hari dalam 30 puluh hari Ramadhan iaitu kerahmatan dari Allah, keampunan 
      dari Allah dan pelepasan dari api neraka Allah. Kumpulan ini bukan sahaja melebihkan amal ibadahnya 
      dalam bulan Ramadhan semata malah sudah pun membuat persiapan dari awal dan berterusan usahanya selepas 
      Ramadhan sehingga bertemu dalam Ramadhan-Ramadhan yang mendatang. 
      
      Manakala kumpulan yang satu lagi adalah tidak sabar untuk menunggu Ramadhan semata-mata untuk mengaut 
      keuntungan material dalam menjalankan perniagaan sepanjang 30 hari berpuasa. Bukannya salah untuk berniaga 
      tetapi kalau keuntungan material semata yang dinanti-nantikan di mana hampir keseluruhan masa dalam 
      30 hari hanya diperuntukkan untuk membuat persiapan menjalankan perniagaan maka mereka yang tergolong 
      dalam kumpulan ini adalah rugi.
      
      Bagi golongan yang resah serta gusar menanti ketibaan Ramadhan, bagi mereka 30 hari adalah satu jangkamasa 
      yang amat memeritkan. Bayangkan, pagi, tak dapat nak pekena roti canai dan teh tarik, tengahari kena stop 
      makan, merokok tak boleh, bukan itu saja, perlakuan, percakapan, pendengaran dan macam-macam lagi, semuanya 
      kena dijaga serta dipelihara. Bagi mereka 1 hari macam setahun.
      
      Manakala golongan yang tak kisah dengan kehadiran Ramadhan ini akan terus mengamalkan apa yang mereka 
      lakukan sebagaimana dalam bulan-bulan lain. Ini amat mudah kita lihat pada golongan-golongan wanita di mana 
      masih lagi tidak memakai tudung untuk menutup aurat mereka, yang lelaki masih lagi bersukan atau berjogging 
      dengan seluar pendek, yang tak solat masih lagi terus tak solat, yang tak tahan perut lapar masih terus 
      curi-curi makan di siang hari dan macam-macam lagi perkara yang ditegah oleh Syariat Islam masih terus 
      diamalkan.
      
      Banyak di antara kita berpendapat apa yang ada dalam Ramadhan adalah sekadar bersahur, berpuasa, berbuka 
      dan bertarawih, itu sahaja. Kita juga merasakan bulan puasa ini satu bulan yang agak meletihkan, bulan yang 
      mana semua kena balik awal untuk buat persiapan menyediakan atau membeli santapan untuk juadah berbuka puasa, 
      bulan yang mana malamnya kena tidur awal sebab nak bangun sahur dan bulan yang mana di akhir bulan sibuk 
      dengan persiapan menyambut Hari Raya, ini termasuklah, membeli pakaian raya, menghias rumah, mengecat rumah, 
      beli kereta baru nak balik kampung dan macam-macam lagi. Semua ini bukannya salah, cumanya kita kena buat 
      sikit anjakan perubahan agar Ramadhan tidak hanya diisi dengan perkara-perkara seperti ini tetapi jauh lebih 
      daripada itu, melakukan ibadah-ibadah yang menjanjikan kerahmatan, keampunan dan pelepasan api neraka Allah.
      
      Banyak ulamak-ulamak yang menukilkan bahawa 30 hari Ramadhan adalah merupakan satu jangkamasa pengajian di 
      satu institusi. Di ibaratkan, Ramadhan adalah satu universiti di mana pelajar-pelajarnya akan mengambil 
      program serta kursus tertentu bagi memperolehi ijazah masing-masing. Dan seterusnya setelah berjaya mendapat 
      ijazah, pelajar-pelajar tersebut akan mencari pekerjaan agar dapat berkhidmat pada Tuannya iaitu 
      Allah Rabbul Jalil. 
      
      Antara kursus-kursus yang ditawarkan adalah seperti berikut, bangun seawal pagi pada jam 5.00 untuk bersahur, 
      selepas itu solat subuh berjemaah di rumah Allah, pergi mencari rezeki, solat zohor berjemaah di rumah Allah, 
      membaca Al-Quran sebelum sambung cari rezeki, solat Asar berjemaah di rumah Allah, pulang ke rumah untuk 
      berbuka, solat Maghrib berjemaah di rumah Allah, balik ke rumah sekejap, solat Isyak dan Tarawih berjemaah 
      di rumah Allah, mendengar tazkirah jika ada kuliah-kuliah pengajian, bertadarus samada di rumah Allah atau 
      di rumah sendiri, tidur dan bangun sekejap untuk solat di malam hari. 
      
      Bila difikirkan-fikirkan kembali memang payah nak buat tapi hanya azam, kesungguhan serta kekuatan iman 
      sahaja yang boleh mendorong kita untuk melakukannya. Dari itu, saya mengajak terutamanya diri saya sendiri
      serta sahabat-sahabat agar menghidupkan Ramadhan demi mengejar tiga perkara iaitu KERAHMATAN ALLAH, 
      KEAMPUNAN ALLAH DAN PELEPASAN API NERAKA ALLAH.
      
      Dan, akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa serta berdoa 
      semoga dipanjangkan umur serta di beri kekuatan dalam menanti kehadiran Ramadhan Al-Mubarak agar kita dapat 
      bersama-sama dalam Ramadhan kali ini serta Ramadhan-Ramadhan yang mendatang.
      
      Wassalam.
      
      
      ZABIDI TASIR 
      

    ~md - semoga ada manfaat


    .:: Sambut Hidupkan Ramadhan ::. - Selasa, 12 Oktober 2004

    ....Bila tiba bulan ramadhan, ada pesta makanan di Malaysia!...

    Tengahari tadi, pejabat saya adakan majlis solat hajat, tahlil dan bacaan doa selamat bersempena Ramadhan yang bakal tiba. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, dan hidangan makan tengahari juga menyelerakan. Berbaloi menahan lapar bila dijamu dengan hidangan sedemikian.

    Kuih Lapis Bercakap soal sambutan ramadhan ni, semacam kebiasaan bagi muslimin dan muslimat yang berkemampuan mengadakan kenduri dan doa selamat. Natijahnya baik, yakni ingin memuliakan kedatangan bulan suci yang dinant-nanti oleh seluruh umat Islam, tetapi pendekatannya haruslah betul dan tidak terpesong dari syariat Islam.

    Janganlah pula kerana ingin melakukan amalan sunat, kita tercebur dalam perkara yang sia-sia dan haram. Antaranya, janganlah ada unsur-unsur seperti mencaci cerca saudara yang lain, tidak menutup aurat, meninggalkan solat dan sebagainya. Orang kita memang terkenal menitik beratkan adat dan kebiasaan lebih dari perkara wajib.

    Bersempena dengan Ramadhan yang menjelang tidak berapa hari lagi, saya ingin mengambil kesempatan untuk mendoakan agar kita semua beroleh rahmat dan lindungan Allah sepanjang bulan yang mulia ini, agar dapat kita lipat gandakan amalan-amalan wajib dan sunat untuk memperolehi ganjaran pahala berlipat ganda, insyaAllah. Jika berkelapangan, ziarahlah rakan-rakan yang terlantar sakit di hospital (atau rumah), beri makan kepada fakir miskin dan anak yatim, bersedekah dan banyak lagi amalan mudah yang memberi ganjaran yang besar.

    Selamat menghidupkan Ramadhan al-mubarak!

    ~md - belum apa2, TV dah pun siarkan iklan hari raya..hhmmm.. :-)


    .:: Negara Pengguna ::. - Khamis, 07 Oktober 2004

    Berkesempatan hari ini ke seminar berkaitan teknologi multimedia broadcasting di sebuah hotel di Subang. Dengan adanya infrastruktur broadband, satu hari nanti pengguna akan dapat menikmati lebih banyak aplikasi yang sofistikated dengan kadar harga yang murah. Pada masa ini terdapat 3 kaedah penyediaan aplikasi broadband, iaitu melalui xDSL, Satelit dan "Terresterial" (microwave radio antenna).

    Maligne TV Aplikasi video broadcast melalui rangkaian IP memerlukan bandwidth optimum sebanyak 2MBps untuk mendapatkan kualiti DVD. Dengan kecanggihan teknologi set-top-box (STB), talian yang sama boleh menyediakan aplikasi-aplikasi multimedia lain tanpa menjejaskan mutu dan kadar penerimaannya. Di Perancis, France Telecom telah menyediakan aplikasi Maligne TV, di mana konsep TV digital menggunakan talian Internet broadband (ADSL) digunakan.

    Itu antara intipati seminar yang dianjurkan pagi tadi. Persoalannya, adakah Malaysia sudah bersedia untuk memanfaatkan teknologi ini?. Adakah pengguna benar-benar mahukan kemudahan ini dan mampu membayarnya?. Adakah model perniagaan sebegini boleh memberikan pulangan yang memberangsangkan?. Adakah infrastruktur sedia ada boleh diguna pakai tanpa memerlukan perubahan atau peningkatan yang drastik?. Adakah kerajaan akan menggariskan polisi baru sekiranya aplikasi ini tidak menggunakan "free air" untuk "broadcast" kandungan (content) kepada pengguna?.

    Trend yang dilihat sekarang ialah, wireless broadband, mobility & high accessibility. Tetapi semua kecanggihan ini memerlukan peralatan yang kebanyakannya diimport dari negara luar. Import = pengaliran wang keluar. Sampai bila agaknya kita akan terus menjadi sebagai negara pengguna, bukan pencipta kepada kecanggihan. Tanggungjawab ini perlu dipikul semua orang, bukan menyalahkan sesiapa untuk melihat perubahan.

    ~md - nak study tentang IP multicast


    Penulis
    MD
    Kuala Lumpur, Malaysia.

    Penafian
    Segala tulisan di dalam
    laman ini adalah luahan rasa
    Penulis yang tidak bermaksud
    untuk menyinggung perasaan
    sesiapa. Jika anda tidak
    berpuas hati, sila maklumkan
    kepada Penulis.
    ~
    ~
    ~
    :w index.shtml (Dihasilkan menggunakan vi dan SSI directive)
    --- IP anda ialah 38.107.191.110 sebelum ini anda melayari site (none) menggunakan CCBot/1.0 (+http://www.commoncrawl.org/bot.html)