|
.:: Pena Maya Mencoret ::.
"Tanggungjawab adalah cabaran, bukan masalah!"
|
.:: Besar nak jadi Apa? ::. - Selasa, 30 November 2004
"Bila besar nak jadi apa?", soalan kegemaran cikgu-cikgi kepada anak murid pada masa saya bersekolah dahulu (mungkin masih ditanya sekarang). "Nak jadi cikgu", jawab rakan saya di barisan paling hadapan. "Hah kamu nak jadi apa Azman?", tanya cikgu kepada rakan saya yang seorang lagi. "Saya nak jadi ahli bomba". "Pasal apa kamu nak jadi ahli bomba?", cikgu tanya lagi. "Boleh main air", jawab Azman sambil tersengih macam kerang busuk.
Itu kisah masa saya dalam darjah 3. Dah lama, tapi bila terpandang Azman, pasti saya teringat kisah tu. Azman sekarang tidak menjadi ahli bomba. Namun dia tetap boleh main air. Saya masih nampak Azman di kampung waktu pulang berhari raya tempohari. Alhamdulillah sudah berumah tangga dengan anak jiran depan rumah emak saya, dan sudah mempunyai anak pinak. Azman tidak keluar dari kampung, nampaknya meneruskan kerja lama ayahnya.
Saya bersyukur kerana mempunyai pekerjaan sekarang. Walaupun bukanlah sehebat mana, namun itulah yang saya harapkan sewaktu saya kecil dahulu. Mahu mempunyai gaji tetap, berkereta, mempunyai rumah, berkahwin dan mempunyai anak. Tetapi ada juga rakan saya yang terkandas. Ada yang mati kerana dadah. Saya amat tersentuh mendapat berita berkenaan. Dulu saya sama-sama bermain dengan arwah. Arwah seorang yang lurus dan baik. Arwah memang rapat dengan saya. Kalau saya berbalah dengan arwah, mesti arwah yang mengalah. Walaubagaimanapun, pencapaian akademik arwah tidak begitu baik. Saya masih ingat bagaimana ibu arwah pernah berseloroh (memberi nasihat). "Shid, kalu mu malas belajar sekarang, besor nati, {md} pakai kasut berkilat 'la 'la, mu kelih 'pes-sir' bijik mate".
*pes-sir - melihat dalam keadaan terpegun (terbeliak)
Al-Fatihah buat Allahyarham Abdul Rashid Karim. Semoga rohmu ditempatkan bersama orang-orang yang dirahmati Allah. Amin.
tambahan:
seorang kenalan menelefon saya pagi ini setelah beliau bermimpi semalam. "{md}, aku mimpi semalam ada orang beritahu kau dah meninggal". Gulp!.
~md - ingatlah 5 sebelum datangnya 5
.:: Janji Lemak Manis (disukai ramai?) ::. - Isnin, 29 November 2004
Ramai orang suka berjanji. Ramai orang menabur janji. Janji tinggal janji. Mungkir janji guriskan hati. Resmi orang munafik.
Antara perkara yang paling sukar dibuat oleh kita ialah menepati janji. Saya pun tak terkecuali. Jika tidak dengan rakan-rakan di pejabat, mesti ter"buat" pada anak-anak. Rasa kesal bila tak dapat patuhi janji, tapi kadangkala pada saat akhir, ada pula urusan lain menghalang, lemah sungguh iman, terpaksa mungkiri janji. Kadangkala kita akan jadi pemungkir janji jika tidak uruskan jadual hidup dan masa dengan baik. Jika kesemua janji-janji yang dilafazkan (macam lagu KRU pulak) dapat disusun dan dirancang baik-baik, InsyaAllah peratusan untuk gagal tepati janji akan berkurangan.
Bila sudah mungkir janji, cepat-cepatlah mintak ampun maaf dan berusaha tidak ulangi lagi. Jangan tunggu sampai hari raya. Janji pun ada perasa. Ada yang manis, ada yang pahit. Janji masin dan kelat saya masih belum dengar lagi. Biasanya kita pandai membuat janji manis. Entah berapa kilogram gula dan madu lebah diadun dalam air liur tutur kata. Sampaikan orang yang sudah kerap ditipu dikecewakan seakan tidak mahu lagi mempercayai diri kita.
Anak saya dapat 2 batang mercun "das" (yang keluar warna tinggi di udara) dari jiran India sewaktu mereka menyambut Deepavali tempohari. Saya takut mereka dapat kecederaan kalau bermain tanpa pengawasan, lalu saya simpan mercun tersebut dahulu. Saya berjanji akan benarkan mereka bermain pada hari lain. Keesokannya, anak saya menuntut mercun beliau, saya katakan "Oh malam ni tak boleh main, tunggu subuh esok". Saya yakin, mesti dia tak terjaga waktu subuh nanti.
Tup-tup, pagi esoknya dia terjaga dan menerpa ke bilik saya. Saya katakan "Oh subuh dah lepas, sekarang kan dah nak siang". Hampa sekali lagi. Tapi hari ini, saya amat terkejut. Bila saya bangkit untuk bersahur pukul 5 tadi, kedua-dua anak saya telah siap sedia menguntum senyum. Aduh, mereka tak tidur dari pukul 12 semalam (patutlah lepas mahgrib budak dua orang tu dah terlena semalam, pasang taktik rupanya). Sekali lagi saya hampakan mereka, saya balas "Abah tak ada mancis, macam mana nak bakar mercun. Itu lah dulu abang jugak yang hilangkan mancis abah".
Tapi kali ini saya dah tak boleh berhelah lagi, malam ni saya kena beli mancis. Saya dah tak sanggup tipu mereka buat kesekian kalinya.
Kemaskini 30/11/2004:
2 mercun selamat dibakar. Anak-anak gembira. Singgah beli burger di gerai "harga minyak naik - harga burger pun naik". Misi terlaksana.
~md - kena larang jiran India saya beri mereka mercun tahun depan.
.:: Kembali kepada Asal ::. - Rabu, 24 November 2004
Selamat bertemu kembali buat semua. Bagaimana cuti masing-masing?. Tentu banyak cerita menarik yang anda tempuhi kan. Saya memang rasa macam tak puas dapat bercuti panjang kali ini. Nasib baiklah tidak ada apa-apa insiden yang memerlukan saya pulang ke pejabat waktu cuti-cuti sebegini.
Setelah hampir seminggu KL di"tinggalkan" oleh warganya yang pulang bercuti di kampung, kini semuanya kembali kepada resmi asal. Terasa rindu pada suasana damai kampung dan peluang berehat semahu-mahunya. Tapi apakan daya, demi tugas dan kewajipan, perlulah kita kembali kepada tanggungjawab rutin kita.
Seperti yang dilaporkan di dada akhbar dan kaca televisyen, kadar kemalangan maut masih tinggi ketika cuti perayaan tempohari. Saya sendiri dapat saksikan kejadian penunggang motor yang mati di lebuhraya Karak-Kuala Lumpur selepas beberapa minit (berdasarkan darah yang masih mengalir dari kepala mangsa) kecelakaan itu berlaku. Ucapan takziah buat keluarga mangsa adan doa moga-moga saudara seIslam kita yang pergi menemui Ilahi beroleh rahmat dari Allah.
Kalendar juga sudah hampir sampai ke penghujung. Rata-rata sudah berkira-kira apakah bonus atau kenaikan gaji akan diperolehi tahun ini berdasarkan prestasi perniagaan syarikat. Begitu juga dengan pencapaian kerja individu dan bahagian. Semuanya akan dinilai menjelang akhir tahun nanti. Jadi bagi yang masih belum siap projek dan tugasan, semoga beroleh kejayaan. Apa yang pasti, tahun depan semuanya akan bermula sekali lagi. Seperti kata bijak pandai, "Titik tidak bermaksud berhenti, tetapi permulaan bagi satu garisan yang panjang". Selamat kembali bertugas (meneruskan urusan biasa).
~md - tak habis lagi puasa 6
.:: Salam Aidilfitri ::. - Rabu, 10 November 2004
Imej oleh: Sedap Sekejap
Ini adalah suatu kemestian. Saya fikir berjuta lagi orang lain telah membuat perkara yang sama. Walaupun telah bermacam cara dan medium digunakan untuk menyampaikan ucapan dan salam aidilfitri, saya fikir tujuannya tetap satu - kegembiraan untuk merayakan aidilfitri ingin dikongsi bersama setiap ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai dan muslimin-muslimat di mana sahaja ucapan hari raya dapat disampaikan.
Saya, dengan rasa rendah diri ingin memohon jutaan ampun dan maaf atas kekasaran bahasa, kepincangan ilham dan tulisan juga perbuatan lahir dan batin yang pernah mengguris, menyakiti atau melukakan perasaan dan hati *[saudara/saudari/Datuk/Datin/Tan Sri/Puan Sri/Tuan/Puan/Abang/Kakak/Pakcik/Makcik/Adik] samada yang saya kenali di alam nyata mahupun di alam maya.
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin
* - pilih mana yang berkenaan/berkenan :-)
Kalau ada yang nak belajar anyam ketupat, pergi sini
~md - hati-hati di jalan raya. semoga berbahagia hendaknya
.:: Pekak dan Bisu ::. - Isnin, 8 November 2004
Orang pekak dan bisu boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat. Asyik saya tengok gelagat "perbualan" antara dua pemuda kurang upaya ini berkomunikasi hari Jumaat lepas di masjid Jamek Kuala Lumpur.
Imej oleh:ICFW
Cuma yang tak berapa sedap, mereka "berborak" ketika khatib sedang membaca khutbah. Kesian, agaknya mereka tidak tahu yang pada masa itu khutbah sedang dibacakan. Ataupun, tidak ada beza samada khutbah sedang dibaca atau tidak kepada mereka. Memang tidak ada skrin TV untuk menyiarkan khutbah dalam bahasa isyarat di masjid. Mungkin kena cadangkan JAKIM usahakan untuk masjid-masjid tertentu sebagai pilot project. Kalau sebagai muslimin normal, bercakap sewaktu khatib berkhutbah adalah perbuatan "lagha" - sia-sia pahala Jumaat. Namun bagi kes dua individu cacat pendengaran ini apakah sama hukumnya?
Berbicara tentang layanan serta kemudahan yang diberikan kepada orang kurang upaya (OKU), seperti yang dikhabarkan oleh MBA di dalam tulisan beliau hari ini, masyarakat Malaysia rata-rata masih memberi layanan kelas kedua kepada golongan ini. Jika sejak azali lagi dilahirkan sebegitu, mungkin mereka sudah lali dengan layanan sedemikian. Tetapi bagi mereka yang menjadi kurang upaya selepas terlibat dalam kemalangan atau penyakit mungkin sukar menerima hakikat. OKU rata-rata terpaksa berdikari melakukan kerja-kerja yang sesuai dengan kebolehan mereka sekiranya tidak diterima bekerja oleh syarikat atau organisasi "orang normal". Inisiatif pihak kerajaan sahaja tidak cukup untuk membela nasib mereka ini.
Apabila kita memperhatikan OKU, sewajarnya kita merasa insaf dan bersyukur di atas kurnia pemberian Allah swt. terhadap diri kita. Kita serba cukup. Hidup dipenuhi segala kemungkinan yang dapat dicapai dengan usaha dan keinginan. Tetapi bagi OKU, mereka kadangkala tersepit antara kasihan belas dan hakikat hidup. Jadilah mereka orang yang pasrah. Jika kita tidak memberi ruang untuk mereka meneruskan perjuangan hidup mereka, kita sebenarnya tidak adil dan bertanggungjawab terhadap mereka.
~md - tak banyak kemudahan awam untuk OKU
.:: Pecah Rumah ::. - Khamis, 4 November 2004
Cuti hari raya tak lama lagi. Rata-rata muslimin muslimat dah mula sibuk dengan persiapan hari raya. Gedung-gedung membeli belah pun dah mula sesak pada cuti hujung minggu. Berlipat gandalah untung yang dapat dibuat oleh taukeh-taukeh kedai.
Imej oleh: PDRM
Dalam kesibukan masyarakat Islam bersiap sedia menyambut 1 syawal, pencuri-pencuri juga giat menajamkan "master key", mengumpul kaedah baru untuk masuk rumah dan menanda lokasi operasi mereka. Walaupun pelbagai sistem keselamatan dan langkah-langkah pencegahan diambil serta kawalan dari pihak polis, namun setiap tahun masih terdapat kejadian pecah rumah semasa musim perayaan.
Tahun ini, insyallah jiran-jiran saya telah berpakat untuk memasang pagar keselamatan di laluan masuk belakang rumah kami (hujung ke hujung). Harap-harapnya, susahlah sikit si pencuri menyusup masuk dari arah belakang. Maklumat juga diberikan kepada balai polis berdekatan memaklumkan masa bercuti penghuni-penghuni taman perumahan kami. Jadi bolehlah polis melakukan rondaan untuk mempastikan keselamatan harta-benda kami terjamin.
Kebimbangan jenayah pecah rumah ini tidak sahaja sewaktu kita tiada di rumah. Lebih merisaukan ialah ketika kita berada di dalam rumah. Jika penjenayah sudah berjaya masuk, bayangkan jika mereka terdesak untuk melepaskan diri, anak-anak kita mungkin dalam bahaya.
Apa yang boleh kita lakukan, adalah membuat langkah pencegahan. Kalau mampu pasang sistem penggera, pasanglah. Jika tidak, kunci betul-betul pintu dan tingkap rumah. Bacalah doa-doa yang tertentu untuk memohon perlindungan dari Allah s.w.t, itu yang sebaiknya.
Sebagai panduan, baca tips yang diberikan oleh PDRM berkaitan kegiatan pecah rumah.
~md - ada rakan simpan barang2 berharga di ofis sebelum pulang beraya :-)
|