.:: Hubungan ::. - Isnin, 16 Mei 2005
Hubungan (connection) antara kenalan kita kadangkala dapat membantu menyelesaikan beberapa masalah. Contohnya, kita terlupa membawa buku akaun simpanan untuk mendapatkan penyata terkini akaun simpanan bagi tujuan permohonan pinjaman. Kebetulan pula, bank yang berdekatan adalah tempat rakan kita bertugas, justeru satu panggilan "hikmat" dibuat, kita diminta datang berjumpa beliau, masalah selesai.
[Imej oleh: PunchStock]

Begitu juga dengan banyak lagi situasi dan perkara lain yang dilalui oleh ramai orang. Kita akan menggunakan "kemudahan" kenalan ini untuk menyelesaikan kesulitan yang dihadapi. Ada yang menjadikan cara ini sebagai jalan pintas, dan ada juga yang hanya menggunakan cara ini apabila keadaan terdesak. Ada yang beretika dan ada juga yang tidak. Ada yang halal, dan ada yang haram.
Pendek kata, kita memang rasa bertuah apabila mampu mendapatkan sesuatu yang sukar diperolehi dengan kaedah dan proses biasa apabila mempunyai "kemudahan" ini. Soalnya, apakah kita wajar menggunakannya atau mungkin orang lain tidak berhak langsung untuk mempersoalkannya (it is none of your business!).
Dari sudut positif, jika kemudahan hubungan baik dengan rakan taulan yang mempunyai kelebihan ini dipergunakan mengikut proses dan hukum syarak, tiada apa yang salah pada pandangan saya. Cuma maksud bantuan hendaklah jelas dan tidak menjejaskan etika profesional pekerjaan yang dibuat oleh rakan kita itu.
Adakalanya, kita sendiri sukar untuk membuat pertimbangan wajar bila terkena batang hidung kita sendiri.
~md - terima kasih cikgu

.:: Naik Lagi ::. - Jumaat, 13 Mei 2005
Bila harga minyak naik, harga hampir semua barangan lain akan turut dinaikkan oleh peniaga. Ramai yang menuduh mereka mengambil kesempatan, dan tidak kurang pula yang berdiam diri sahaja kerana masih mampu menanggung kos peningkatan tersebut.
[Imej oleh: Berita Sore]
Saya tidak arif dengan teori ekonomi, tetapi saya yakin pasti ada cara yang lebih praktikal yang boleh diambil oleh peniaga tanpa perlu menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya. Tindakan menaikkan harga oleh segolongan peniaga akan menghasilkan "kesan domino". Mula-mula, peniaga A menaikkan harga, diikuti peniaga B, sehinggalah peniaga Z dan kembali semula kepada peniaga A.
Golongan yang paling parah menanggung kesan domino ini ialah golongan miskin dan yang berpendapatan rendah. Apa akan jadi pada mereka?. Nilai wang yang boleh membeli barangan keperluan pada satu ketika dahulu sudah menurun. Ada yang mungkin kelaparan dan merempat di tepi-tepi jalan. Kadar jenayah mungkin akan naik secara mendadak kerana desakan hidup. Begitu juga kadar keciciran di sekolah-sekolah kerana ibu-bapa sudah tidak mampu menanggung kos persekolahan anak-anak.
Akhirnya, yang kaya akan terus kaya, yang miskin dan papa akan terus tertindas. Begitu menyedihkan bila melihat golongan miskin dan papa ini adalah bangsa Melayu Islam yang menghuni bumi tumpah darah nenek moyang mereka sendiri.
~md - apa perancangan ekonomi jangka panjang anda?

.:: Membesar ::. - Isnin, 9 Mei 2005
Sifat semulajadi makhluk yang hidup akan mengalami proses tumbesaran. Proses ini dapat dilihat pada kanak-kanak, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan alam sekeliling yang bernyawa.
Bagi manusia, seiring dengan tumbesaran yang dilalui, pengetahuan dan pengalaman juga turut bercambah. Kadang-kadang pembesaran kanak-kanak begitu pantas. Sedar tak sedar, setelah beberapa tahun tidak berjumpa, bentuk fizikal badan mereka telah berubah, begitu juga dengan perlakuan dan pemikiran mereka.
Mata kasar kita dapat melihat tumbesaran fizikal sahaja. Namun aspek tumbesaran rohani (iman) adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sejauh manakah kita menitik beratkan keseimbangan tumbesaran fizikal dan rohani anak-anak kita?. Bagaimanakah anak-anak kita membesar dengan zat-zat dan pengisian yang menjadi keperluan fitrah kejadian setiap manusia?.
Riak muka dan tutur kata mereka dapat mencerminkan apa yang terdapat di dalam dada dan akal mereka. Panduan ke arah kebaikan dan kemungkaran ada pada kita. Tepuk dada tanya iman.
~md - terima kasih ibu
