|
.:: Pena Maya Mencoret ::.
"Tanggungjawab adalah cabaran, bukan masalah!"
|
.:: Orang Baru? ::. - Jumaat, 28 Mei 2004
Akhirnya terumum sudah siapakah yang bakal menggantikan pucuk pimpinan syarikat termpat saya bekerja. Beliau masih muda, awal 40-an tetapi sudah memegang banyak jawatan penting syarikat-syarikat kepentingan Kerajaan. Laporan kewangan suku pertama syarikat saya pun dengar khabar baik. Patutlah harga saham naik sikit minggu ni. Nanti saya sambung lagi....
~md - kena pegi banyak kenduri kahwin cuti sekolah ni
.:: Happy Birthday Aiman ::. - Rabu, 19 Mei 2004
Kepada Aiman,
Abah takut terlupa untuk ucapkan selamat hari lahir ke 6 buat Aiman esok hari. Jadi Abah tulis terus hari ni.
Sedar tak sedar, Aiman dah pun hidup selama 6 tahun. Selama 6 tahun jugalah Abah dan Ummi bersama Aiman, siang, malam, pagi dan petang. Cuma pada tahun 2002, dari bulan September hinggalah Pertengahan Jun 2003, kita "terpisah" seketika, kerana Abah dan Ummi terpaksa ke luar negara. Abah sedih juga pada waktu tu, kerana tidak dapat menyambut hari lahir bersama-sama Aiman di Malaysia.
Aiman, walaupun usia Aiman masih kecil, dan mungkin Aiman tidak tahu lagi membaca tulisan abah ini, namun ianya tidak menghalang daripada Abah menyatakan tanda kasih sayang Abah dan Ummi buat Aiman. Harapan kami berdua agar Aiman menjadi anak yang soleh, adik dan abang yang baik terhadap adik-beradik Aiman, juga menjadi orang yang berguna suatu hari kelak.
Semoga hari lahir tahun ini akan menjadikan Aiman lebih cekal dan bijak menguruskan diri bagi menempuh hari-hari yang mendatang.
Abah.
~md - Hujung minggu ni saya dan keluarga akan bercuti ke PD untuk raikan Aiman :-)
.:: Satu Family Demam ::. - Isnin, 17 Mei 2004
Cuaca di Malaysia sekarang (buat yang kat seberang laut) memang panas (lebih panas dari kebiasaannya). Jiran saya kata, mungkin faktor itu agaknya yang menyebabkan anak2 saya, saya sendiri, maid semuanya kena demam kecuali isteri saya (harap-harap antibody dia kuat).
Minggu lepas saja, 2 kali saya pergi ke klinik. Kali pertama angkut 3 orang, kali kedua untuk tambah ubatan yang dah habis. Memang lumrah kita manusia kena sakit demam. Nabi S.A.W yang maksum pun pernah kena demam, jadi kenalah banyak bersabar kalau nak dapat pahala.
Kesian saya lihat anak bongsu saya yang baru masuk 7 bulan. Pucat dan lesu air muka dia. Kita sebagai ibu bapa sekadar mampu memberi rawatan yang disyorkan doktor dan bersabar dengan kerenah anak kecil ketika tidak sihat.
Dari satu sudut lain, demam sebenarnya membawa rahmat. Rahmat dari Allah untuk hambaNya yang berfikir. Ianya adalah satu nikmat yang tidak diperlihatkan secara terus, ada hikmah disebalik jika direnungi. Kata ustaz, bila kita sakit, mungkin itu adalah kifarat ke atas dosa-dosa kecil yang pernah kita lakukan. Jadi kenalah kita banyak bersabar dan redha apabila menerima musibah dan ujian Allah.
~md - Sapa demam cepat2 makan ubat :-)
.:: Kelam-kabut bila Virus menyerang ::. - Rabu, 13 Mei 2004
"..dia buat hal lagi..", mengeluh seorang rakan apabila PC beliau "reboot" sekali lagi. Saya perhatikan sepanjang minggu ini, ada saja PC yang "terkena" wabak Sasser, sejenis virus yang merebak menerusi rangkaian yang menyerang sistem pengoperasian Windows 2000 & XP. Kesian jugak lihat anak-anak buah saya tak henti-henti "merawat" lebih 40 buah PC yang terkena virus tersebut.
Masalah virus ni tak pernah selesai, selagi ada pengguna komputer, selagi ada rangkaian komputer (LAN, WAN, Internet), selagi ada syarikat menjual anti-virus, selagi itulah ia akan terus wujud. Jadi apa yang boleh kita buat sebagai pengguna biasa?.
Kalau saudara/i perhatikan, kebanyakan virus ditujukan kepada sistem pengoperasian Windows. Entahlah, mungkin ramai penulis virus "diupah" atau memang mereka sengaja mensasarkan Windows sebagai musuh mereka. Menyedari hakikat ini, maka saya memasang Linux sebagai OS (operating system) utama di PC saya. Kemudian saya gunakan aplikasi SAMBA (versi SMB percuma) untuk menguruskan fail-fail yang saya akan gunakan bersama sistem operasi Windows. Langkah seterusnya ialah meneliti apakah aplikasi utama yang saya perlukan ketika bekerja - MSOffice, MSExchange, Web Browser, Network Management Application, Productivity Tools. Memandangkan masih ada aplikasi yang memerlukan Windows OS, saya pasang (install) VMware untuk digunakan sebagai "pelancar" (launcher) OS Windows dari dalam persekitaran OS Linux.
Selesai tugas pemasangan dan tetapan (configuration) aplikasi-aplikasi tersebut, maka hiduplah saya dengan aman damai tanpa gangguan virus. Semua dokumen-dokumen seperti Words, Powerpoint, Excel, dan sebagainya disimpan dalam "partition" Linux, tapi masih boleh dicapai dari OS Windows melalui SAMBA. Setelah kira-kira 2 bulan saya menggunakan cara begini, alhamdulillah tiada masalah serius yang saya hadapi apabila virus menyerang.
~md - nak buat virus yang makan virus lain :-)
.:: Mengapa sukar untuk bekerjasama? ::. - Selasa, 12 Mei 2004
Pernahkah anda berasa bosan bila sukar untuk mendapatkan sokongan kerjasama dari rakan-rakan apabila mahu melaksanakan sesuatu tugasan?. Saya fikir semua orang pasti pernah (selalu) merasakannya. Apakah cara-cara untuk kita mengendalikan situasi sebegini?. Amat malang bagi mereka yang sering berada dalam keadaan ini. Lebih malang lagi sebenarnya ialah golongan yang tidak "supportive" tersebut, kerana mereka yang sebenarnya akan memperolehi faedah terbesar dari apa yang kita usahakan.
Masih ramai yang tidak sedar mereka berada di landasan yang salah. Siapakah yang boleh diharapkan untuk memperbetulkan tindakan kita apabila keadaan ini berlaku?. Sudah tentu orang-orang yang akrab dan sering bersama kita. Mereka umpama cermin yang boleh melihat tingkah laku dan perwatakan kita. Tetapi sanggupkah kita menerima teguran ikhlas dari mereka?
Sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran dan kepandaian tersendiri, sewajarnya kita mampu mempraktik akhlak dan perilaku yang berwawasan. Jika kita gagal untuk merealisasikan kehendak dan tuntutan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik, carilah "pedoman" dari mereka yang ahli, bukan terus terjerumus ke dalam kancah masalah yang tidak berkesudahan. Dan jangan pula kita mengajak orang lain turut sama masuk ke dalam "lubang" yang kita gali.
~md - kerja dengan macam2 jenis orang
.:: Duit kecil ::. - Isnin, 10 Mei 2004
Kesempatan cuti 2 hari pada hujung minggu lepas digunakan sebaik mungkin untuk berehat dan bersama ahli keluarga. Walaupun saya tidak sama sekali merancang untuk membawa anak isteri berkunjung ke Taman Warisan Pertanian (TWP) di Putrajaya, ternyata kunjugan kami ke sana amat disenangi anak-anak.
Kami sampai agak awal, kira-kira pukul 10.30 pagi. Tujuan asal hanyalah untuk "pusing-pusing" sekitar putrajaya. Tapi terlangsung ke sana, singgah sebentar di TWP untuk menjamu selera di medan selera di situ. Ini adalah kali pertama saya sampai di situ, bagi isteri saya kali ke 3. Beliau yang mengesyorkan agar saya mencuba makanan dan "lai chi kang" di situ, TWP patut beri komisen pada beliau kerana berjaya "menggambarkan" keenakan yang sukar diceritakan :-)
Susun atur dan kemudahan di TWP amat baik, saya kagum dan bangga kalau semua kemudahan pusat pelancongan di Malaysia boleh dijadikan sebegitu. Puas meronda-ronda sekitar TWP, tibalah peluang yang dinanti-nanti - Mejamu Selera. Konsep layan diri diamalkan, tak ada masalah, memang saya suka cara itu. Tapi yang saya kurang senang, apabila "cashier" tiada wang syiling untuk memberi baki bayaran. Sebagai pengguna, saya fikir kita tidak perlu menjawab soalan "tak ada duit kecil ke?", walaupun ianya bertujuan baik. Sepatutnya, peniaga wajar menyediakan wang baki secukupnya tanpa menyusahkan pembeli untuk mencari-cari wang syiling di sana sini untuk menyempurnakan urusniaga.
Saya perasan perkara begini berlaku jika berurusan di kaunter perniagaan "orang kita". Bukan sengaja tak mahu bawa duit syiling, tapi sudah menjadi kelaziman saya, setiap baki duit syiling harian, akan dimasukkan ke dalam tabung. Esok, poket memang tiada langsung duit syiling. Harap-harapnya semua peniaga kita dapat menyedari kelemahan ini dan memperbaikinya tanpa menunggu "Pak Menteri" yang suruh.
~md - Tapi boleh tahanlah "taste" makanan kat situ :-)
.:: Obesiti ::. - Khamis, 6 Mei 2004
Hmm.. jangan pulak ada yang marah bila tengok tajuk hari ni :-). Bukan apa, saya terpanggil untuk membicarakan hal ini apabila mengetahui ada perangkaan (statistik) yang dibuat berkenaan fenomena ini dikalangan rakyat Malaysia. Kalau saya tidak tersalah baca fakta, 1 daripada 10 orang rakyat Malaysia mengalami masalah obesiti (kegemukan).
Saya fikir perangkaan di atas adalah "amaran" kepada semua yang masih mampu melakukan sesuatu dan menghindar dari termasuk dalam kategori yang dibanci. Rata-rata pendapat menyatakan, faktor gaya pemakanan kita banyak mempengaruhi obesiti. Malaysia memang mewah dengan pelbagai jenis makanan dan juadah pembuka selera, tetapi kebanyakannya mengandungi kandungan lemak, gula, karbohidrat, garam dan lain-lain dalam peratusan yang tinggi. Jika kita tidak peka dengan pengambilan jenis dan kuantiti makanan harian kita, maka kita akan terdedah kepada masalah obesiti.
Obesiti juga dikesan sebagai penyumbang kepada masalah kesihatan yang sering dihidap rakyat Malaysia. Saya tidak arif untuk menghurai kaitan obesiti dengan masalah kesihatan, jadi eloklah kita rujuk kepada mereka yang lebih pakar. Dewasa ini, ramai yang cenderung mengambil ubatan menguruskan badan bagi mendapatkan penyelesaian segera. Saya fikir, mengambil ubatan tentu ada kesan sampingan, lagipun adakah ia mampu memberikan penyelesaian muktamad?.
Apa yang sering disarankan agar kita mengawal cara pemakanan, melakukan senaman rutin dan menghindari tekanan kehidupan dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan terancang. Di bawah ini terdapat beberapa artikel berkaitan obesiti.
~md - sedang belajar ambil makanan seimbang :-)
.:: Hari Buruh ::. - Sabtu, 1 Mei 2004
Hari ini adalah hari buruh. Buruh adalah panggilan yang kurang enak, lalu kerajaan menukar kepada hari pekerja. Sedap sikit bunyinya. Malaysia terkenal dengan cuti-cuti tertentu. Tak hairanlah sampai jadi tag-line "cuti-cuti Malaysia". Hujung minggu ini misalnya, ada 4 hari cuti berturut-turut - Sabtu hingga Selasa. Bagi yang berkelapangan, sudah tentu banyak agenda yang menanti.
Paling gembira sekali bila cuti panjang ni, kanak-kanak sekolah. Anak-anak saya "pura-pura" bertanya kepada saya, "Abah esok sekolah tak?" bila saya baru sampai ke rumah petang tadi. Macamlah kita tak tahu fikiran dia tu. "Happy" semacam bila tahu tak payah bangun pagi, tak kena larangan tengok TV, boleh main video games, dan bermacam lagi aktiviti kesukaan mereka yang hanya dibenarkan pada waktu cuti sekolah.
Cuti panjang memang dinanti oleh semua orang, kecil, besar, tua, muda pasti ada saja perkara yang ingin dilakukan. Atuk nenek di kampung begitu sabar menanti kehadiran cuti panjang, kalau-kalau anak-anak di bandar akan pulang membawa cucu-cucu mereka ke kampung. Bolehlah mereka melepas rindu seketika melayan kerenah dan riuh rendah anak cucu berkumpul.
Bagi yang berkemampuan, cuti-cuti sebegini biasanya dihabiskan dengan melancong ke tempat-tempat peranginan di dalam dan luar negeri. Bagi yang "mampu" juga, waktu cuti panjang sebegini memang "ditempah" untuk mendirikan masjid, mahligai bahagia bersama pasangan yang dijodohkan.
Apapun yang kita rancang dan ingin habiskan semasa cuti yang diperolehi, sebaiknya dinikmati dengan orang yang tersayang. Kalau hari-hari biasa, agak sukar untuk kita menghabiskan masa bersama mereka, masa cuti inilah untuk mereka bergaul mesra dengan kita. Bagi saya - cuti kali ini adalah hari bekerja :-(.
~md - kena upgrade system lagi...
|