|
.:: Senarai Kabinet Baru ::. - 27 Mac 2004
untuk senarai penuh, sila ke laman The Star
~md - harapkan yang terbaik dari pak menteri kita
.:: Tanggungjawab Menguap Menjawab ::. - 24 Mac 2004
Untuk kali ke 3 dalam masa 14 hari, saya terpaksa bersengkang mata di pejabat untuk mengawasi kerja-kerja baik pulih sistem NMS (network management system) yang saya jaga. Sudah menjadi lumrah pekerja bahagian IT, masalah sebegini akan dihadapi tidak kira masa. Kadangkala tiada langsung masalah untuk satu tempoh yang panjang - kita jadi bosan. Tetapi jika mula berlaku masalah setelah satu tempoh "berpuasa", bersedialah untuk menghadapinya.
Bekerja dalam organisasi yang berstruktur dan berprosidur, memerlukan kita bersedia "menjawab" di atas segala apa yang "dipertanggungjawabkan". Menjawab pula boleh dikategorikan kepada dua (pada firasat saya), pertama secara formal dan kedua secara tidak formal. Menjawab secara formal memerlukan fakta dan maklumat lengkap untuk menyokong penerangan yang ingin diberikan. Ini dapat menjelaskan keadaan sebenar di samping mengelakkan kita dari dituduh tidak melaksanakan tanggungjawab dengan cekap. Manakala menjawab secara tidak formal pula lebih menjurus kepada keperluan untuk menerangkan keadaan ketika krisis sedang ditangani. Silap hari bulan, kita terdedah kepada kesilapan dan kemungkinan untuk dimarahi oleh orang atasan. Kalau terlalu suka "menjawab" pun tak elok juga.
Dalam kes saya, kedua-dua jenis "menjawab" telah dan sedang saya alami, dan "akibat" dari menjawab tersebut juga telah saya rasai. Saat ini saya betul-betul rasa ingin menguap :O. Inilah yang dikatakan cabaran :-)
~md - masih tunggu kerja-kerja baikpulih selesai (1.30 pagi)
.:: Permulaan Baru ::. - 22 Mac 2004
Semalam (Ahad 21 Mac 2004) menyaksikan satu lagi proses demokrasi berparlimen di Malaysia dilaksanakan, iaitu pilihanraya umum kali ke 11. Saya berpeluang untuk membuang undi di Parlimen P119 - Titiwangsa. Perlawanan satu-lawan-satu antara calon BN dan PAS. Keputusannya, calon BN menang dengan majoriti undi yang agak banyak (lebih 12 ribu rasanya).
Apa yang menarik, pada pilihanraya kali ini, kelihatan tidak ada isu-isu hangat yang dapat digembar-gemburkan untuk menarik hati "pengundi atas pagar". Biasanya isu-isu sebegini dapat memberi sedikit "tips" siapa pilihan calon (dari parti yang diwakili) yang dapat menarik hati pengundi sebegini. Sebagaimana dalam pilihanraya-pilihanraya yang lepas, BN sekali lagi mendapat majori 2/3 untuk mewujudkan kabinet baru kerajaan Malaysia. Manakala negeri yang dahulunya dikuasai kuat oleh parti PAS iatitu Terengganu, telah jatuh semula ke tangan BN. Sehingga pagi ini, masih terdapat beberapa kerusi bahagian dan parlimen yang perlu dikira semula undinya, memandangkan perbezaan undi calon yang menang adalah tipis.
Peratusan undi rosak di sesetengah tempat juga tinggi, seolah-olah masih ada ramai di kalangan pengundi yang "tidak tahu membaca" barangkali, atau suka-suka untuk merosakkan kertas undi yang diberi kepada mereka. Rangkaian-rangkaian televisyen tempatan begitu sibuk dengan program pilihanraya masing-masing. Kebanyakannya menjemput ahli panel untuk sesi dialog ketika menunggu keputusan-keputusan semasa yang diperolehi secara rasmi dari SPR.
Sebagai rakyat biasa, saya hanya mengharapkan keadilan, kearifan dan sikap tanggungjawab pemimpin yang telah dipilih menerajui negara dapat memberi manfaat maksimum kepada agama, masyarakat dan negara. Tiada guna berbangga dapat menewaskan calon yang ditandingi jika natijah sebenar yang diperolehi sekadar kepuasan bersorak. Janganlah jadi seperti Pak Kaduk - "menang sorak, kampung tergadai".
~md - seronok dapat keluar mengundi.
.:: 2 dalam 1 ::. - 18 Mac 2004

.:: Linux Desktop saya - OS Win98 "di run" dalam RedHat Linux (menggunakan VMWare) ::.
Klik gambar untuk paparan lebih besar
Akhirnya, saya berjaya juga "configure" PC saya untuk menggunakan Linux 100%. Saya tak perlu lagi reboot PC semata-mata untuk menggunakan Windows kerana sekarang Windows 98 boleh di"run" serentak dengan Linux OS saya. Ini yang saya panggil "total control & freedom of use" terhadap PC saya. Saya akan ceritakan dengan lebih lanjut, bagaimana saya "buat" perkara ini dalam catatan akan datang. Buat masa ini, saya perlukan sedikit istirehat :-)
~md - Syukur, menjadi apa yang saya inginkan.
.:: Re-format dan Re-install ::. - 10 Mac 2004

.:: Harddisk (cakera keras) ::. Imej dari Jinmei
Sejak minggu lepas saya bertungkus lumus untuk baiki laptop saya yang secara mendadak "shutdown" tanpa "warning message". Masalah ini terjadi sejak saya mula mendail ke Internet dari rumah 2 bulan lepas. Setelah beberapa kali berjaya menggunakan Internet dari rumah, secara tiba-tiba laptop tersebut "auto-shutdown". Saya musykil, barangkali ada "virus" telah menyerang laptop saya. Menyesal saya mendail menggunaka WinXP, tapi memang tiada pilihan lain, pada masa tu Linux saya masih tidak boleh "detect" Internal Winmodem.
Memang saya "fobia" dengan serangan virus. Kadangkala saya lebih suka menggunakan Linux ketika melayari laman web di Internet, kerana jarang virus disasarkan ke atas sistem operasi Linux. Nampaknya bertambah tugas saya pada hujung minggu berikut ini, ada 2 PC perlu diformat, 1 laptop untuk dibaiki.
Sebagai pengguna biasa, kadangkala kita terdedah kepada masalah yang tidak disangka-sangka. Bukan PC kita sahaja yang sering ditimpa masalah tertentu, kehidupan kita juga begitu. Kalau PC, ada masalah - format, re-install. Hidup? bolehkah kita format dan re-install "perisian"nya. Jika perisian hidup itu tidak melibatkan nyawa, insyaAllah kita boleh usahakan kembali menjadikannya sebahagian dari diri kita. Sekiranya "perisian utama" yakni nyawa telah dicabut, tinggallah 3 perkara seperti yang tersebut dalam hadis berikut:
"Bila seorang meninggal, terputuslah semua amalannya kecuali tiga
perkara: amal jariah, ilmu yg bermanfaat, dan anak yg soleh yg berdoa
untuknya." (HR Muslim)
Dengan adanya kemudahan teknologi seperti hari ini, banyak perkara baik yang wajar kita ketengahkan untuk manfaat hari akhirat, umpamanya nasihat menasihati secara siber. Wallahu'alam.
~md - kita kena selalu "scandisk" dan "defrag" amalan kita.
.:: Sebabkan Mulut, "habis pulut!" badan binasa ::. - 1 Mac 2004

.:: Pulut Panggang ::. Imej oleh: Saudara Azman
Hari ini, ambil kesempatan tiada mesyuarat di sebelah pagi untuk ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengambil Kad Pintar Pelbagaiguna Kerajaan (Government Multipurpose Card) yang telah 2 bulan siap. Setelah selesai urusan tersebut (hampir 2 jam menunggu giliran), terus ke Putrajaya untuk membayar "hutang" pinjaman pelajaran JPA yang tak selesai-selesai walaupun sudah hampir 8 tahun meninggalkan institusi pengajian :-). Maklumlah, ada duit dan ada kelapangan baru nak pergi bayar, inilah jadinya. Bila JPA minta suruh buat potongan gaji bulanan, saya katakan tak mengapa, saya akan datang bayar sendiri bulan-bulan :-)
Jadi, berlarutan keadaan ini sehinggalah pada pagi tadi, saya "gatal" mulut bertanya bagaimana cara untuk saya buat pembayaran secara "online" seperti yang diwarwarkan. Pegawai kaunter tersebut menerangkan kepada saya langkah-langkah yang perlu saya ikuti. Saya perlukan no. rujukan dan no. bil untuk melakukan pembayaran secara "online" tersebut. Saya kemudian memaklumkan kepada pegawai berkenaan yang saya tidak mempunyai no. bil, hanya ada no. rujukan. Beliau menjadi hairan, seraya berkata "Eh, encik tak dapat surat tuntutan bayaran ke?". Lalu dengan pantas beliau menekan kekunci "keyboard" memasukkan No. kad pengenalan saya dan memeriksa butiran rekod saya. "Encik dah tamat pengajian pada tahun 1995, macam mana JPA tak hantar surat tuntutan?, saya akan maklumkan kepada pegawai yang berkaitan untuk hantar surat tuntutan kepada encik.".
Alahai, tersilap langkah ke saya hari ni?. Elok-elok saya boleh dengan bebas membayar balik pinjaman mengikut kemampuan dan tempoh masa "sendiri", sekarang berkemungkinan besar saya perlu jelaskan kesemua baki pinjaman tersebut dalam satu tempoh yang lebih ketat dengan jumlah tertentu. Kalaulah tahu macam ni jadinya, mahu saja saya diamkan persoalan tadi :-).
~md - gaji tak bertambah, komitmen bertambah -
|