.:: Ingatan ::. - Isnin, 27 Jun 2005
Berapa kerapkah anda menerima pemberian sebagai tanda ingatan (cenderahati?). Mungkin kerap, mungkin juga jarang-jarang, mungkin kadang-kadang.
Pemberian mempunyai pengertian yang berbeza bagi seseorang. Penerima sudah tentu akan gembira dengan pemberian yang diterima. Tetapi si pemberi lebih gembira jika pemberian mereka dihargai dan diingati.
Sabtu lepas, isteri saya telah menghadiahkan jambangan bunga pot-pouri untuk diletakkan di meja pejabat saya. Memang saya suka dengan hadiah tersebut. Tetapi saya lebih suka dengan kata-kata yang mengiringi hadiah tersebut, "bila abang tengok bunga ni, harap abang ingatkan saya".
Saya fikir begitu jugalah harapan Pencipta kita, apabila mengurniakan rezeki, kesihatan, kedamaian hidup dan rahmat kurnia yang lain. Setiap pemberian pasti mengharapkan kita agar mengingati si "Pemberi". Janganlah kita lupa untuk memanifestasikan rasa syukur kita ke hadrat Allah swt. Semoga kita tidak dilabel sebagai hamba yang kufur nikmat.
~md - segar hirup bauan pot-pouri

.:: Minat ::. - Jumaat, 24 Jun 2005
Apabila sesuatu perkara telah menjadi minat, banyak duit boleh dihabiskan begitu juga masa dan kudrat. Setiap orang hidup dengan minat dan kesukaan masing-masing. Jika minat manusia adalah sama, apabila golongan sama minat ini berjumpa, dunia sudah tidak dipedulikan (seolah-olah).
Minat juga boleh dipupuk. Pada mulanya mungkin seseorang itu tidak mempunyai pengetahuan langsung tentang sesuatu perkara yang bakal dijadikan minat baru mereka. Tetapi setelah masa berlalu, minat mula berputik dan menjadi sebati dengan kehidupan mereka.
Apabila minat telah menjadi ketagihan, ianya boleh mendatangkan mudarat. Umpamanya golongan fanatik ini boleh melupakan keperluan anak isteri semata-mata ingin menumpukan kepada minat yang diceburi mereka. Ada yang sanggup tidak pulang ke rumah berhari-hari kerana "out station" bersama rakan-rakan.
Minat juga boleh memeberi pulangan yang menguntungkan jika diusahakan secara bijak. Misalnya, minat untuk bercakap dijadikan modal untuk memberi ceramah motivasi, syarahan dan sebagainya. Minat untuk menconteng dijadikan sumber rezeki melalui rekaan fabrik dan iklan. Minat menjahit, minat melukis, minat menulis, minat membaca dan sebagainya adalah aktiviti hobi yang boleh digunakan untuk memberi faedah dalam bentuk wang ringgit atau sebagai khidmat kebajikan.
Apapun yang kita minat lakukan haruslah mempunyai batasan dan matlamat. Jika ianya terlalu menyimpang dan tidak memberi apa-apa faedah, sewajarnya ianya dibendung dari terus menjadi sebahagian dari kehidupan kita.
~md - ada minat baru naik motor berkuasa tinggi

.:: Tenggelam Timbul ::. - Selasa, 14 Jun 2005
Agak lama tak menulis. Bukan tiada cerita, tapi tak dapat fokus untuk buka editor dan hantar posting ke laman blog ini. Cuti sekolah pun dah habis. Anak-anak dah mula kena bangun pagi dan kembali kepada rutin harian yang ketat. Saya sendiri rasa mengeluh bila habis cuti panjang sempena cuti sekolah tempohari. Rasa nak sambung lagi cuti seminggu.
Harapnya semua rakan-rakan berada dalam keadaan sihat walafiat. nanti ada masa saya tulis sesuatu. Ada beberapa perkara yang perlu dibereskan dalam dua tiga minggu ini. Antaranya, cubaan untuk menjadi part time tutor di OUM.
~md - selamat hari bapa
