.:: Keliru ::. - Khamis, 14 Julai 2005
Lagi tulisan berkaitan tindakan :-)
Semalam saya telah menghadiri satu sesi temuduga untuk jawatan dalaman (internal). Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan jawatan berkenaan. Saya diminta melaporkan diri bertugas di bahagian tersebut pada hari Isnin depan.
Malangnya, kegembiraan saya sekejap saja. Apabila saya maklumkan perkara ini kepada ketua bahagian sekarang, beliau menghalang keputusan tersebut. Walaupun beliau sendiri yang menandatangani permohonan saya untuk jawatan itu.
Sekarang saya terkedu dan keliru, apa sebenarnya yang bermain difikiran beliau. Saya tidak berhajat untuk mencetuskan kemarahan atau bertegang leher, sebab tidak memberikan faedah kepada sesiapa. Saya fikir, sebagai pekerja, saya ada hak untuk memilih career path saya yang lebih cemerlang. Saya telah menurut saluran yang disediakan. Saya tidak melobi atau berselindung. Saya dipilih mengikut proses yang betul.
Mungkin ada hikmah disebalik situasi ini. Moga-moga ada jalan penyelesaian yang tidak merugikan sesiapa, insyaAllah.
~md - sedang cari idea untuk berbincang

.:: Membuat Keputusan ::. - Rabu, 6 Julai 2005
Membuat keputusan sering mengundang kebimbangan samada pilihan yang dibuat adalah tepat atau sebaliknya. Selagi keputusan tidak dibuat, kesannya tidak dapat dilihat. Mungkin pengalaman lampau dapat digunakan ketika menganalisa keputusan yang bakal dibuat. Apabila sesuatu keputusan telah dibuat, jarang ianya boleh ditarik balik.
Imej oleh:DoublelightMusic
Kerapkali juga berlaku, setelah keputusan dibuat, kita mula menyesal. Ini semua lumrah dan hampir semua orang pernah merasainya. Bagi sesetangah orang, istilah menyesal tidak pernah wujud dalam kamus hidup mereka. Prinsip mereka, jika keputusan telah dibuat, apa yang mendatang akan ditanggung, baik atau buruk. Bak kata pepatah, Membujur lalu, Melintang patah.
Takut membuat keputusan atau pilihan juga boleh membawa bencana. Kadangkala peluang keemasan hanya datang sekali sahaja dan pada saat itu, kita perlu menetapkan keputusan. Jika kita was-was, biasanya kita akan cenderung memilih keputusan yang selamat, iaitu tetap pada kedudukan atau keadaan sekarang. Jika kita dari jenis yang suka mengambil risiko (calculated risk), pertimbangan kita akan lebih kepada pilihan untuk mencuba.
Apapun keadaan dan pertimbangan yang perlu dikendalikan, setiap dari kita harus bijak membuat keputusan yang baik. Keputusan yang baik tidak semestinya hanya untuk memuaskan hati kita sahaja, namun perasaan dan kepentingan orang lain juga. Namun ada ketikanya keputusan yang baik tidak dapat memuaskan hati semua orang. Belajarlah dari kesilapan dan cepat memperbaikinya.
~md - 6 bulan pertama telah berlalu
