|
|
Blog Kegemaran
The Reader
Organised Chaos
Sangkelate
AnA
Ummi
MBA
Sarini's Space
Malaysian Idiot
Pok Ku Bustaman
jiwarasa
Sekuk
Sham
WiraOne
Latif's Portfolio
Arkib
2006:
Blog Baru
Post Terakhir|
Jan|
2005:
Nov|
Okt|
Sep|
Ogo|
Jul
Jun|
Mei|
Apr
Mac|
Feb|
Jan
2004:
Dis|
Nov|
Okt
Sep|
Ogo|
Jul
Jun|
Mei|
Apr
Mac|
Feb|
Jan
Pautan Berguna
Fadhilat Amalan
Perisian Islam
Pautan Menarik
Photo Realism Art
Emotion Eric
Produk Rakan-Rakan
Knowledge Mgmt.
Workflow System
SMS Service
Web Development
IT Security
|
|
.:: Pena Maya Mencoret ::.
"Tanggungjawab adalah cabaran, bukan masalah!"
|
.:: Tersedak 36.6Kpbs ::. - Isnin, 31 Januari 2005
Kata orang, bila sedang makan dan tiba-tiba tersedak, itu tanda ada orang sebut.
Hari ahad atau hari cuti biasa, jarang sangat saya jenguk Internet. Dah jemu banyak sangat guna di pejabat, di rumah rasanya sesuai untuk berehat saja. Mungkin juga semangat tak sama macam dulu, cepat bosan.
Dulu, masa mula-mula guna Internet dari rumah, saya dial ke remote access server (RAS) universiti dengan kelajuan 9.6Kbps. Dah cukup hebat dah tu. Masa tu panggilan telefon tempatan 10sen saja, tak ada had masa. Bolehlah 'telnet' ke BBS, server Unix di makmal dan sebagainya. Kadang-kadang guna 'gopher' untuk cari bahan dalam format teks. Sekarang boleh dial dengan kejaluan 56.6Kbps, tetapi biasanya tak pernah dapat pun kelajuan maksima. Teringin juga nak pasang Streamyx, tapi jarak rumah pula lebih 7KM dari ibusawat telefon terdekat.
Berbalik kepada cerita semalam. Memandangkan Pok Ku adakan Majlis Makan Nasi Dagang malam sabtu lepas, teringin nak tahu/tengok gambar kalau-kalau ada cebisan berita. Saya tak dapat turut serta kali ni. Dah masuk ke blog Pok Ku, tak ada pulak ulasan pada hari Ahad. Mungkin Pok Ku masih ada masalah untuk 'access' Internet dari rumah. Khabarnya streamyxnya ada masalah.
Seperti biasa, bila dah mula 'belayar/berlegar-legar di alam maya' saya cuba singgah ke blog-blog rakan-rakan. Biasanya saya akan mulakan dari pautan di blog saya sendiri. Apabila saya disebut dalam entry harian Abedib dan Sham, perasaan jadi bercampur-campur. Ada rasa terharu dan bertuah. Ada rasa berdebar-debar. Berdebar sebab pujian tanggapan yang diberikan mungkin tidak seperti itu sebenarnya.
Abedib menyebut cerita sewaktu perkenalan saya dan anaknya Maher ketika minat anaknya ingin mempelajari Linux. Segan pula bila dipanggil 'sifu' padahal ianya hanyalah 'nickname' yang saya gunakan waktu gian 'berIRC' dulu. Tak sedalam manapun pengetahuan Linux saya sebenarnya. Sebetulnya kumpulan Malaysian Linux User Group yang banyak membantu. Mungkin /blog/arkib laman web lama saya ini boleh bercerita sendiri :-).
Sham pula menyebut tentang prosa/puisi yang ditulisnya hasil ilham yang diperolehi dari puisi saya. Walhal saya tak layak pun disebut kerana puisi itu, saja tulis-tulis kosong. Namun tidak dinafikan, saya gemar membaca puisi dan tulisan tersirat seperti haiku (walupun masih tidak faham bagaimana mahu menulisnya), sajak, cerpen dan pelbagai lagi penulisan bahasa yang baik. Kena berlatih lagi.
Pelawat baru yang sampai ke blog saya dari pautan yang diberikan oleh Abedib dan Sham mungkin ada yang tidak faham bahasa Malaysia. Saya pohon maaf kerana saya telah memilih untuk menulis dalam bahasa Ibunda :-). Jika aplikasi "babelfish" boleh menterjemah BM-English, mungkin ianya dapat membantu.
~md - terima kasih atas kunjungan anda. rasa terhormat.
.:: Garu Kepala ::. - Khamis, 27 Januari 2005
Pagi nan dingin
Asap kenderaan disedut
Kerja sudah menanti
Kepala dipicit
Peluh menitik
Esok bertemu lagi
Umur masih muda
Uban memutih
Petanda bermakna
~md - tak ada masa nak menulis panjang
.:: Cepat ::. - Khamis, 20 Januari 2005
Jangan cepat melenting bila ditegur
Dengar dahulu dan cuba bertafakur
Jika nyata kesilapan kita, akurlah
Jika nyata kekeliruan timbul, jelaskanlah
Jangan cepat puas hati bila berjaya
Kejayaan mungkin bersifat sementara
Entah esok ianya tiada
Bersyukurlah dan lipat gandakan usaha
Jangan cepat membuat kesimpulan
Fahami dan gunakanlah akal dan iman
Bimbang kalau-kalau kita tersalah telah
Buruk padahnya bila mula bertikam lidah
Jangan cepat merasa resah
Keluh kesah bukan penyelesai masalah
Berserah dan bertawakkal dengan ketentuanNya
Hidup ini bukan untuk dipersia-sia
Cepat rebut peluang yang boleh
Cepat pertingkatkan amalan soleh
Cepat perbaiki kekurangan diri
Cepat tepati janji yang diberi
~md - Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha
.:: January the 13th ::. - Khamis, 13 Januari 2005
Sedar tak sedar, sudah genap setahun saya berkecimpung dalam penulisan blog. Sebagai penulis yang masih mentah, membaca
entri pertama mengembalikan nostalgia ketika ingin memulakan langkah.
InsyaAllah, jika diberi kelapangan masa dan ilham, saya akan terus mencoret sekadar termampu. Terima kasih atas lawatan dan komen yang diberikan sepanjang setahun lepas.
~md - cepat sungguh masa berlalu
.:: Khidmat Pelanggan ::. - Rabu, 12 Januari 2005
Sudah hampir 14 bulan saya menyimpan SIM card perkhidmatan pasca bayar (post-paid) sebuah syarikat telekomuniasi mudah alih di Malaysia. Simpan dan tidak pakai, tetapi bayaran bulanan tetap dilangsaikan. Kononnya talian ini saya akan gunakan untuk urusan peribadi, manakala talian satu lagi untuk urusan rasmi (boleh tuntut pelepasan panggilan dari syarikat).
Memandangkan saya lebih senang menyelesaikan sendiri bil talian utama, jadi rasanya tidak perlulah saya rungsing untuk campur adukkan panggilan rasmi dan panggilan peribadi. Diam tak diam, 14 bulan talian 'spare' tadi tidak dipakai. Memikirkan buat rugi saja simpan SIM card tersebut, saya pun bertandang ke kedai syarikat berkenaan di Jln. Semarak.
Sesampai di kedai berkenaan, baru teringat SIM card tertinggal di rumah. Alamak, rugi masa betul kalau tak boleh tamatkan perkhidmatan hari ini. Gerutu hati. Terus ke kaunter khidmat pelanggan.
"Kalau saya lupa bawa SIM card, masih boleh terminate service tak?", tanya saya.
"Tak apa, tak perlu SIM card. Tapi kenapa encik nak terminate service?", soal pegawai berkenaan.
"Saya tak pernah pakai pun talian ni, jadi daripada membazir elok saya tamatkan saja", jawab saya.
"Elok encik simpan SIM card ni, manalah tahu encik perlukan nanti, senang. Apa kata encik unsubscribe service yang tidak penting, macam itemised billing, dll, encik hanya perlu bayar sewa minima saja", cadang pegawai khidmat pelanggan.
"(berfikir sejenak), oklah, saya simpan"
Entah macam mana saya boleh setuju. Mungkin kena pukau ke apa saya pun tak pasti. Memang kakak tu senyum agak manis masa tu. Siap suruh saya duduk saja di kerusi, dia akan uruskan untuk setiap urusan tanpa perlu mengambil no. giliran. Pelik betul, biasa susah nak tengok kaunter khidmat pelanggan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) buat perkhidmatan sebegini. Mungkin kerana saingan sengit dalam sektor telekomunikasi mudah alih menyebabkan mereka tidak sanggup kehilangan pelanggan.
Dipendekkan cerita, asalnya nak tamatkan perkhidmatan, tak jadi. Malah siap 'upgrade' lagi ke SIM card 64K, kena tambah lagi RM10.00. Sah, saya dah kena pukau!.
~md - lain kali kena tutup mata bila berurusan
.:: Tukar Kerja ::. - Isnin, 10 Januari 2005
Setakat ni dah berapa kali anda bertukar tempat kerja?. Atau bagi yang sudah bersara, berapa kali tuan/puan/Dato'/Tan Sri pernah berpindah tempat/jenis kerja sebelum pencen.
Persoalan ini ligat bermain di kepala saya sekarang. Saya tidak pernah bertukar tempat kerja. Cuma bertukar jabatan dalam organisasi yang sama sahaja. Ada orang bertukar tempat kerja kerana pelbagai alasan dan sebab. Ada kerana tawaran gaji yang lumayan. Ada yang berminat kerana dapat balik kampung. Ada yang menerima kerana 'tunang'/teman wanita tinggal berdekatan tempat kerja baru. Dan ada juga yang menerima tawaran kerja baru kerana sudah bosan dengan tempat kerja lama.
Masing-masing ada alasan tersendiri apabila tiba ketika perlu membuat pilihan untuk pergi atau tidak. Pilih atau tolak. Bagi yang sudah lali dengan bertukar-tukar tempat kerja, ianya bukan susah. Pasti sudah ada formula untuk menimbang baik buruk keputusan yang ingin diambil. Tetapi bagi mereka yang tidak punya pengalaman sebegitu, mengambil keputusan yang salah mengundang risiko sepanjang hayat.
Apakah kriteria sebenar untuk menjadi alasan kukuh untuk berpindah?. Kalau boleh teman-teman bagi tips, elok juga. Bukan bermaksud saya nak bertukar kerja, saja nak kumpul-kumpul maklumat. Manalah tahu akan berguna di kemudian hari. Terima kasih daun keladi.
~md - lompat kerja macam katak?
.:: Internet dan Anda #1 ::. - Sabtu, 8 Januari 2005
Terasa ingin jadikan topik bicara seperti saudara Beta-blogger dengan "Growing Up in Trengganu"nya, mungkin ini boleh jadi satu permulaan bagi saya pula.
Untuk permulaan, kita lihat bagaimana pengembaraan di dunia Internet banyak menggunakan fungsi 'hyperlink' (hyperrangkai) di dalam laman web. Hyperlink biasanya dicipta di dalam tag HTML (HyperText Markup Language) yang digunakan. Kita boleh 'melompat' dari satu laman web ke laman web lain dengan hanya meng'klik' pada hyperlink yang disediakan.
Berikut ialah pengalaman saya melayari sebuah laman web untuk mencari maklumat berkaitan dunia kewangan tempatan tetapi dihubungkan pula ke laman web lain dengan bahan yang berlainan dari pencarian asal.
Jika berkesempatan, saya suka melayari laman web akhbar-akhbar versi Internet untuk mendapatkan maklumat tambahan berkenaan sesuatu topik. Artikel dalam akhbar biasanya lebih panjang dan mengupas topik yang dibicarakan menerusi perspektif yang berbeza-beza.
Laman The Edge Daily adalah antara laman akhbar berkaitan perihal dunia kewangan yang agak menarik minat saya. Kandungan bahannya dikemaskini hampir setiap jam (jika ada berita menarik), setidak-tidaknya setiap hari pasti ada 2 atau 3 artikel baru. Membaca tulisan rencana dari penulis ruangan kewangan dapat serba sedikit memberi 'tips' apakah senario kewangan di negara kita dan juga serantau. Ini boleh memberi panduan kepada perancangan peribadi sekiranya apa yang ingin kita rancang memerlukan input yang melibatkan ekonomi dan perniagaan.
The Edge Daily juga menyediakan sisipan berita dalam format video pendek. Beritanya padat, kemas dan menarik, dengan gaya penyamapaian yang baik. Video tersebut disediakan dengan kerjasama Malaysia.tv. Tertarik untuk mengetahui kandungan bahan lain yang disediakan oleh Malaysia.tv, saya terus mengarahkan pelayar web saya ke laman utama syarikat berkenaan. Di sini 'hyperlink' memainkan peranannya.
Sungguh tidak menghampakan. Pelbagai berita lain dalam format video yang tidak kurang hebatnya tersedia di laman web berkenaan. Ada bermacam segmen, dari klip video lucu (segmen light-moments memang mencuit hati) sehinggalah berita berkaitan teknologi terkini. Persembahan yang bermaklumat, fokus dan menarik. Jika tidak puas untuk menonton sesuatu berita, anda boleh mengulanginya seberapa kerap yang anda mahu. Sesuatu yang jarang diperolehi apabila menonton TV biasa (broadcast TV). Teknologi dan aplikasi Internet dimanfaatkan dengan baik dan bijak.
Teknologi media penyiaran menerusi Internet sudah menampakkan potensi untuk dikembangkan ke peringkat lebih jauh lagi. Sekiranya lebih ramai pengguna Internet mempunyai kemudahan Internet Broadband, nescaya lebih banyak aplikasi multimedia boleh diketengahkan.
Penggunaan 'hyperlink' adalah antara penyebab mengapa perkhidmatan 'World Wide Web' atau web singkatannya begitu popular di Internet. Malah Web adalah antara 'killer application' yang membolehkan Internet berkembang dengan pesat. Kandungan multimedia di dalam laman web membolehkan pelbagai maklumat dapat disampaikan secara kreatif dan menarik.
~md - dulu pernah buat Internet Radio
.:: Baling Batu Sembunyi Tangan ::. - Khamis, 6 Januari 2005
Sampai di pejabat pagi tadi, seperti biasa ada dua pilihan untuk ke tingkat pejabat saya. Naik lif biasa, atau lif kargo. Dan sebagaimana biasa, saya lebih senang memilih lif kargo kerana 'kurang' orang.
Lif kargo memang kurang cantik. Lebih tepat lagi agak kotor. Namun untuk mengelakkan jumpa kakak peramah 'kesesakan pagi' di lobi utama, itulah pilihan terbaik. Sambil menunggu tiba di tingkat pejabat saya, sempatlah menikmati pemandangan di dalam lif.
Tiba-tiba terpandang akan satu 'coretan' di pintu lif. Masih ada perangai orang tak bertamadun rupanya yang hidup dalam bangunan tempat saya bekerja. Bukan sekadar tulisan negatif, pelbagai grafiti dan torehan kasar lain yang kelihatan. Nyatanya, ia bukan gara-gara geselan objek yang diangkut di dalam lif, ianya jelas perbuatan tangan manusia (jika masih layak dipanggil sebegitu).
Kalau di zaman persekolahan dahulu, grafiti biasa saya lihat di tandas sekolah, kerusi bas, dinding stor dan sebagainya. Tetapi itu saya fikir biasa, sebab budak sekolah memang ada yang belum matang dan bersikap mudah marah. Tetapi perkara yang sama jika dilakukan di premis pejabat, ianya amat menimbulkan tanda tanya. Masih adakah orang yang belum matang di sini?. Atau mungkin pemikiran orang tersebut terkena 'litar pintas'?.
Saya klasifikasikan orang yang melakukan grafiti di dalam lif ini sebagai pengecut kelas terbawah. Jika tidak puas hati terhadap seseorang, mengapa perlu memaki hamun dengan bahasa kesat di dinding lif?. Tidakkah itu mencerminkan peribadi kita yang pengecut?. Apa salahnya gunakan saluran yang betul. Jika takut untuk bersemuka, laporkan kepada ketua dan biarlah mereka uruskan untuk menyelesaikan masalah. Melepaskan geram di dalam lif tidak menyelesaikan apa-apa masalah.
Teringat kembali tulisan yang dibuat oleh seorang penulis di akhbar tempatan tidak lama dulu. Orang Malaysia ingin menjadi maju seperti negara maju lain, tetapi pemikiran dan sikap mereka masih seperti orang dunia ke-3. Saya fikir, pernyataan itu dibuat bukan atas tuduhan melulu, tetapi itulah hakikat majoriti segelintir masyarakat kita.
Sampai bila kita harus lihat sikap sebegini di dalam masyarakat kita?.
~md - kena suruh urus bangunan cat pintu lif
.:: Sekolah - Dulu dan Sekarang ::. - Selasa, 4 Januari 2005
Semalam berkesempatan untuk menghantar anak-anak ke hari pertama sesi persekolahan tahun 2005. Banyak peristiwa yang boleh diperhatikan untuk difikir-fikirkan.
Kalau dulu, waktu saya masuk ke alam persekolahan, susah nak lihat ibu bapa hantar anak pakai kereta. Habis hebat pun motosikal kapcai yang senget tempat duduk, atau tercabut lampu 'signal'. Rata-rata datang dengan berjalan kaki. Ada yang tidak ditemani pun oleh ibu atau bapa. Sungguh berdikari murid-murid dahulu.
Sekarang, anak-anak ditemani ibu bapa yang bercuti khusus untuk menemani anak-anak mereka masuk sekolah di hari pertama (kedua, dan kadang-kadang ke tiga). Pintu masuk kawasan sekolah sibuk dan sesak dengan kenderaan-kenderaan besar menjalar. Hampir tiada yang datang berjalan kaki melainkan rumah mereka betul-betul di hadapan sekolah.
Kalau dulu, jenama dan fesyen kasut, baju dan pakaian sekolah hampir serupa bagi semua orang. Tiada yang 'fancy' dan 'branded'.
Sekarang, kalau banyak duit, bolehlah cari yang berjenama dan beraneka gaya untuk dipakai oleh anak-anak.
Kalau dulu, ibu bapa amat kurang yang boleh membimbing anak-anak mereka untuk memahami pelajaran mereka apabila berada di rumah.
Sekarang, ada ibu bapa yang mampu mengajar sendiri anak-anak mereka di rumah. Tidak ketinggalan juga yang mengupah 'personal tutor' untuk anak-anak mereka.
Kalau dulu, wang saku diberikan ikut kemampuan ibu bapa.
Sekarang, anak-anak pandai 'demand' jumlah yang mereka mahukan, dibanding dengan rakan-rakan mereka yang lain. Ada juga yang minta lebih dari wang saku - telefon bimbit, pda, dan sebagainya.
Kalau dulu, ibu bapa akan menitiskan air mata apabila melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran.
Sekarang, ibu bapa menitiskan air mata apabila anak yang berjaya gagal mendapat tempat di sekolah berasrama penuh atau pusat pengajian tinggi terpilih.
Sekolah Dulu dan Sekolah Sekarang
Murid Dulu dan Murid Sekarang
Ilmu diBuru dan Kesenangan Mendatang
Jasa Guru dan Pendidik Terbilang
* tambahan:
Tersentuh saya lihat seorang bapa kurang upaya bertongkat untuk naik ke tingkat 2 bangunan sekolah untuk melihat anaknya yang berada di darjah 1. Waktu saya nampak tu abang tu dah pun sampai ke tingkat 2, kalau tak boleh lah juga tolong. Kalaulah ada laluan khas untuk golongan tua atau kurang upaya untuk naik ke tingkat atas, kan bagus. Mungkin pihak kerajaan patut mereka kemudahan ini di masa hadapan.
Yang hairannya, kenapa pihak sekolah tidak letakkan murid-murid darjah satu di tingkat bawah?. Saya fikir agak berbahaya budak-budak yang belum matang berada di tingkat atas.
~md - apa lagi beza yang anda ketahui?
.:: Tahun Baru ::. - Sabtu, 1 Januari 2005
Tahun baru 2005 telah tiba. 365 hari yang lalu sudahpun diharungi dengan pelbagai peristiwa dan catatan yang takkan datang lagi walaupun rutinnya sama.
Penghujung tahun 2004 ditutup dengan peristiwa sedih menimpa saudara kita di pesisir pantai di negeri Kedah, Pulau Pinang, Langkawi dan beberapa lagi negara di selatan Asia. Semoga Allah menempatkan roh saudara seIslam yang kembali ke rahmatullah bersama mereka yang beroleh rahmat.
Biasanya kita akan ditanya apakah azam baru tahun ini?. Azam ingin melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi, azam ingin mempunyai kereta/rumah/kapal terbang baru, azam ingin berumahtangga (kali pertama, kedua, ketiga, keempat) dan pelbagai macam azam yang indah-indah lagi.
Pendek kata, kalau berazam, memang senang saja nak disebut. Tetapi untuk mengotakan azam adalah satu perkara yang tidak semudah yang dikata. Orang yang tidak mempunyai azam pun ramai juga. Bagi mereka, ada azam atau tidak sama saja. Hidup tetap diteruskan. Mohd Azam bin Mohd Azim mungkin tidak perlu ditanya azamnya.
Jadi apa pula azam anda tahun ini?. Masih ingatkah azam lama yang tercapai dan tidak tercapai?
Selamat Tahun Baru 2005. Semoga semua azam anda akan tercapai.
~md - Isnin sekolah bermula, macam2 yuran nak kena bayar
|
|
Penulis
MD
Kuala Lumpur, Malaysia.
Penafian
Segala tulisan di dalam
laman ini adalah luahan rasa
Penulis yang tidak bermaksud
untuk menyinggung perasaan
sesiapa. Jika anda tidak
berpuas hati, sila maklumkan
kepada Penulis.
|