.::Pena Maya Mencoret::.
"Tanggungjawab bukan masalah, tetapi cabaran!"

Blog Kegemaran

  • The Reader
  • Organised Chaos
  • Sangkelate
  • AnA
  • Ummi
  • MBA
  • Sarini's Space
  • Malaysian Idiot
  • Pok Ku Bustaman
  • jiwarasa
  • Sekuk
  • Sham
  • WiraOne
  • Latif's Portfolio

    Arkib

    2006:

  • Blog Baru
  • Post Terakhir| Jan|

    2005:

  • Nov| Okt|
  • Sep| Ogo| Jul
  • Jun| Mei| Apr
  • Mac| Feb| Jan

    2004:

  • Dis| Nov| Okt
  • Sep| Ogo| Jul
  • Jun| Mei| Apr
  • Mac| Feb| Jan

    Pautan Berguna

  • Fadhilat Amalan
  • Perisian Islam

    Pautan Menarik

  • Photo Realism Art
  • Emotion Eric

    Produk Rakan-Rakan

  • Knowledge Mgmt.
  • Workflow System
  • SMS Service
  • Web Development
  • IT Security

  • Selamat Hari Raya Aidil Adha - 31 Januari 2004

    InsyaAllah hari esok, ummat Islam akan bersama-sama meraikan Hari Raya Korban. Hari Raya ini begitu sinonim dengan peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s. dengan anaknya Nabi Ismail a.s. Esok, sudah pasti masjid-masjid dan madrasah akan dipenuhi ummat Islam untuk sama-sama bertakbir dan bertahmid seterusnya menunaikan Solat sunat Aidil Adha diikuti dengan khutbah hari raya.

    Pengorbanan menuntut kepada kesanggupan diri kita membuat sesuatu yang di luar kemampuan dan keinginan nafsu shahwat kita. Pengorbanan tidak diukur dari sudut kesusahannya sahaja (melakukan sesuatu), tetapi juga dari tahap keikhlasan kita ketika melaksanakan tanggungjawab itu. Walaupun sesuatu perkara yang dilakukan itu kecil, namun keikhlasan hati kita kerana Allah s.w.t akan memberi natijah yang baik, insyaAllah.

    Bagi rakan-rakan yang tidak dapat merayakan Aidil Adha kali ini dengan sanak saudara di tanahair, semoga tetap ceria dan sejahtera menyambutnya di tempat anda di sana. Alangkah beruntungnya andai kita dapat melakukan ibadah korban pada hari yang mulia ini. Jika tidak mampu seekor lembu (unta, dll.), ambillah sebahagian, mungkin kalau tidak tahun ini, tahun hadapan.

    ~md - terkenang sambut hari raya di Lancaster :-) -


    Motivasi Diri - 30 Januari 2004

    Setiap manusia diciptakan penuh dengan keistimewaan dan perwatakan tersendiri anugerah Allah swt. Dan setiap yang dianugerahkan itu adalah amanah berupa nikmat dariNya. Dalam susah ada senang, dan dalam senang ada susah. Apa sahaja yang kita lalui dalam hidup kita ada permulaan dan ada noktah akhirnya. Begitu juga hidup kita di dunia ini.

    Dalam konteks dunia pada hari ini, kita seringkali "dilekakan" dengan kesibukan kerja, jadual temujanji, aktiviti sosial dan sebagainya sehinggakan perkara pokok yang menuntut kita mengutamakannya sering terabai. Bila mana kita tersedar, mungkin masanya telah terlewat buat kita. Justeru, saya menyeru diri saya sendiri dan rakan-rakan sekalian agar sentiasa memuhasabah diri kita sendiri sebelum kita diperhitungkan di hadapanNya kelak.

    ~md - "cedok" petikan tazkirah sebelum khutbah hari ini -


    Overtime - 27 Januari 2004

    Bagi sesetengah orang, "overtime" (kerja lebih masa) amat menyeronokkan. Seronok dalam konteks waktu kerja yang dibayar tempohnya (dapat tambah wang saku hujung bulan), dapat fokus kepada kerja apabila tidak ramai orang di pejabat, kesempatan untuk menyiapkan bebanan tugas yang bertimbun dan sebagainya. Kepada sesetengah golongan pula, mereka akan terbayang tentang situasi di mana kita lewat pulang ke rumah, kerja perlu dibereskan sebelum hari esok, perut lapar, fikiran bercelaru dan pelbagai lagi keadaan yang tidak seronok untuk kita berada - tetapi tiada ganjaran dari segi tuntutan "bayaran" untuk kerja lebih masa.

    Overtime jika menjadi "sindrom" akan memeningkan kepala majikan, terutama "overtime" berbayar. Ada kawan saya berkata, ada orang gunakan "overtime" untuk cari "duit lebih", macam mana pulak tu?. Tetapi jika tidak berbayar pula, akan memenatkan pekerja yang sering terperangkap dalam situasi begini. Persoalannya, mengapa waktu kerja dari pukul 8.00/9.00 pagi hingga 4.00/5.00 petang tidak cukup untuk menyiapkan tugasan harian? atau adakah memang budaya kerja kita begitu?. Kasihan anak-anak dan keluarga di rumah kalau perkara sebegini terus-terusan sampailah kita pencen.

    ~md - nak buat "overtime" dengan family -


    SMS - 26 Januari 2004

    Kalau dahulu, telefon bimbit boleh dianggap barang eksklusif yang hanya mampu dimiliki oleh orang kaya dan berada, tetapi hari ini ianya mampu dimiliki oleh setiap orang yang ber"wang". Apa tidaknya, hinggakan anak-anak yang bersekolah pun sudah ada yang membawa telefon bimbit ke sekolah. Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah budaya SMS (yang menggunakan telefon bimbit sebagai perantara).

    Memandangkan penggunaan telefon bimbit yang begitu meluas pada hari ini, banyak pengendali rangkaian selular dan perkhidmatan tambah nilai (value added services) berlumba-lumba untuk mengaut keuntungan daripada jumlah pengguna yang kian bertambah. Antara perkhidmatan yang popular dan hangat pada masa ini ialah SMS. Hampir semua perkara yang boleh dikategorikan sebagai informasi berteks (textual information) akan diSMSkan. Daripada maklumat bursa saham hinggalah kepada peraduan teka-kata yang menawarkan pelbagai hadiah.

    Dalam pada itu, ada juga perkhidmatan/peraduan SMS yang semata-mata ingin mengaut keuntungan, tanpa menawarkan apa-apa manfaat kepada peserta/pengguna. Perkara sebegini bukan sahaja dapat mengelirukan pengguna malah menggalakkan pembaziran kerana kos SMS premium bukanlah murah. Mungkin bagi mereka yang berada, duit bukanlah masalah, tapi bagi para pelajar dan golongan yang kurang berkemampuan, perkhidmatan sebegini boleh memerangkap mereka.

    Suatu hari nanti, setiap talian tetap (fixed line) iaitu talian telefon biasa di rumah juga akan dilengkapi kemudahan SMS (setakat ini Telekom Malaysia menawarkan perkhidmatan ini di lembah Kelang sahaja) yang mana akan meningkatkan lagi tahap penggunaan dan perkhidmatan SMS di pasaran. Apa yang penting, kita sebagai pengguna harus bijak memilih perkhidmatan yang memberi manfaat maksimum kepada kita.

    ~md - nak buat SMS teka kacang :-) -


    Cuti - 21 Januari 2004

    Esok bermula cuti 4 hari bersempena sambutan Tahun Baru Cina. Rasanya cuti kali ini, mungkin ramai yang akan menyambung terus sampai cuti Hari Raya Haji yang hanya selang beberapa hari sahaja. Bagi saya, hanya dibenarkan bercuti untuk Tahun Baru Cina sahaja.

    Apa yang paling seronok bila dapat cuti "agak panjang" ini, ialah kesempatan untuk pulang ke kampung menjenguk ayah bonda dan sanak saudara. Kalau diikutkan hati, mahu saja berpindah kerja ke kampung halaman, agar senang bersama ayah bonda, namun resmi orang makan gaji, di mana kita diarahkan bertugas, di situlah kita mesti berada. InsyaAllah, kalau ada rezeki, niat saya akan kesampaian bila ada peluang baik menanti. Bila dan Apa?, saya pun belum betul-betul memikirkannya.

    ~md - KL dah mula lengang hari ni :) (bestnya kalau hari2) -


    Reunion - 16 Januari 2004

    Manusia berubah dengan keadaan. Begitu juga pengalaman dan kehidupan, berubah mengikut peredaran masa dan keadaan. Untuk mengimbau kenangan lama yang manis dan pahit, biasanya kita akan mencari rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama belajar, bekerja dan sebagainya untuk berkongsi perkembangan semasa dan masa lampau. Tetapi bukan mudah untuk menganjurkan reunion rupanya, tambahan pula jika semua "ahli" mempunyai komitmen masing-masing yang tidak boleh diganggu sesuka hati. Saya sendiri cuba untuk menganjurkan reunion rakan sekuliah yang sama-sama tamat pengajian pada tahun 1995 dahulu, tetapi masih lagi belum kesampaian.

    Pagi tadi, seorang rakan mencadangkan agar kami adakan "small scale" reunion bersempena cuti hari raya haji nanti. "Small" sebab jumlah kehadiran tidak penting - sapa ada, datang. Insyallah, moga-moga reunion pertama sejak 9 tahun ini berhasil.

    ~md - nak jenguk saudara mara pun kadang2 tak sempat :( -


    Support Line - 15 Januari 2004

    Pernah anda menelefon perkhidmatan bantuan menerusi telefon?. Berapa kali peluang untuk panggilan anda terus dilayan dan masalah anda difahami oleh "pelayan panggilan"?. Kadangkala saya fikir lebih baik sesebuah syarikat penyedia perkhidmatan "menyorokkan" nombor telefon bantuan perkhidmatan sekiranya panggilan kita langsung tidak berjawab - hanya dihiburkan dengan suara sistem yang menyatakan "panggilan anda akan dilayan sebentar lagi, terima kasih kerana menunggu...".

    ~md - kalau ada pilihan lain, memang tak nak telefon. -


    Traffic Jam - 14 Januari 2004

    Sudah menjadi lumrah bagi mereka yang bekerja di ibukota, berhadapan dengan masalah kesesakan lalulintas ketika waktu pergi dan pulang dari tempat kerja. Kadangkala masalah ini menjadi begitu teruk sehingga pelbagai masalah sampingan lain timbul. Umpamanya, asap kenderaan yang berkepul-kepul keluar akan memudaratkan alam sekitar dan kesihatan manusia. Emosi pemandu juga seringkali terganggu dan menjadi tegang bila insiden tak diingini berlaku kepada mereka. Persoalannya, bilakah masalah ini akan dapat diselesaikan dan bagaimana?. Rasanya sudah banyak cadangan dan tindakan yang dibuat, tetapi masalah tetap tidak juga reda.

    ~md - tak bawak kereta pergi kerja. -


    Entry Pertama   - 13 Januari 2004

    Nampaknya, sudah menjadi trend masa kini, untuk setiap Internauts(netters) mempunyai web log (blog) peribadi untuk ditatap oleh pengunjung dari serata dunia. Menyahut perkembangan positif ini, saya juga tidak mahu ketinggalan mempunyai blog sendiri yang mungkin tidak sekreatif tulisan orang lain. Apa pun, saya kira inisiatif menulis sesuatu akan membuatkan fikiran kita sentiasa berfikir dan mengkaji akan keadaan yang kita lalui sehari-harian untuk dikongsi bersama pembaca lain. Apa yang baik semuanya dari Allah. berjumpa di lembaran lain.

    ~md -

    Penulis
    MD
    Kuala Lumpur, Malaysia.

    Penafian
    Segala tulisan di dalam
    laman ini adalah luahan rasa
    Penulis yang tidak bermaksud
    untuk menyinggung perasaan
    sesiapa. Jika anda tidak
    berpuas hati, sila maklumkan
    kepada Penulis.
    ~
    ~
    ~
    :w index.shtml
    --- IP anda ialah 38.107.191.98 sebelum ini anda melayari site (none) menggunakan CCBot/1.0 (+http://www.commoncrawl.org/bot.html)