Mulut sebenarnya tidak bersalah. Pada dasarnya mulut tidak mampu berbuat apa-apa untuk membinasakan badan. Mulut memerlukan bantuan elemen lain yang melekat di dalam (gigi), ditepi (ketuat gajah) atau di atasnya (misai tajam) untuk mendatangkan mudarat kepada sesuatu objek sasaran. Kalau gigi, mungkin boleh mencederakan badan. Kalau mulut yang tinggal gusi sahaja, susah rasanya.
Hakikatnya, mulut boleh habiskan pulut!.
.:: Belum Cukup ::. - Isnin, 14 Februari 2005
Nampaknya isu 'minyak naik harga' telah memberi kesan kepada semua sektor. Samada secara langsung atau tidak langsung.
Beberapa hari lepas, saya terdengar ura-ura TNB ingin menaikkan tarif elektrif bagi menampung kos operasi janakuasa elektrik yang menggunakan bahan bakar petroleum yang semakin meningkat.
Saya percaya, jika isu 'curi api' boleh dibanteras, nescaya ianya boleh meningkatkan pendapatan kasar TNB, seterusnya boleh dimanfaatkan untuk menghadapi masalah kenaikan kos operasi mereka. Mungkin ini adalah langkah sementara, dan mungkin juga isu 'curi api' ini adalah isu 'celah gigi' sahaja. Setidak-tidaknya, ada usaha yang pengguna boleh faham dan yakin, jika dinaikkan tarif sekalipun, pengguna sedar TNB telah melakukan sedaya mungkin untuk mempercekapkan pengurusan tenaga elektrik yang dibekalkan kepada pengguna domestik dan industri.
Saya tidak menyangkal, kesan kenaikan petroleum akan memberi kesan kepada sektor-sektor tertentu, namun jika boleh dikaji bagaimana untuk membendung daripada membiarkan pengguna menanggung kos tersebut, itu yang sebaik-baiknya.
Ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk menangguk di air yang keruh. Sudahlah air tersebut perlu dirawat agar lebih jernih dan selamat untuk digunakan, ditangguknya juga air tersebut asal ada peluang meraih untung. Perbuatan sebegini sungguh tidak berhati perut.
Janganlah anggap pengguna di Malaysia semuanya tunggul kayu dan dungu. Asal ada keperluan untuk menambah aliran modal bagi kelancaran operasi, penggunalah yang akan dibebankan. Bukan semua pengguna mempunyai gaji tetap berpuluh ribu sebulan. Cuba fikirkan pengguna yang miskin. Mereka juga ingin mengecapi kemudahan infrastruktur kelas pertama tanpa bebanan bil yang tinggi.
Jika mentaliti syarikat di negara kita masih lagi begini, usah haraplah jurang digital antara penduduk berkemampuan dan yang miskin akan mengecil. Tenaga kerja yang ada di dalam syarikat-syarikat 'besar' ini bukan calang-calang. Ramai yang berkelulusan tinggi dari universiti-universiti terkemuka dalam dan luar negeri. Ke mana pergi ide dan perancangan yang ampuh untuk menangani isu yang dihadapi?. Tepuk meja tanya CEO! Tepuk dada, tanya selera!.
~md - kenapa tenaga solar tidak dikomersilkan?

.:: Hormat dan Percaya ::. - Selasa, 8 Februari 2005
Amat tenang dan senang apabila sesuatu yang kita lakukan dihormati dan mendapat kepercayaan setiap orang. Terasa bersemangat untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja. Walaupun kerja lebih masa yang diperuntukkan tidak dituntut bayaran, namun kepuasan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan melebihi segalanya.
Lebih lebih lagi, bila bekerja dengan kelompok rakan-rakan yang telah masak dengan peribadi kita. Sungguh menyeronokkan.
Semalam saya dijemput untuk menghadiri bengkel untuk membincangkan produk baru untuk diberikan kepada pelanggan korporat kami. Perkhidmatan ini belum pernah dijual dan ianya akan memberi peluang perniagaan yang besar kepada syarikat. Namun cabaran untuk mengotakan apa yang telah dijanjikan kepada pelanggan harus dipikul setiap unit yang terlibat. Kami harus menggunakan pendekatan berbeza sama sekali untuk mencapai kualiti dan tahap perkhidmatan yang tinggi.
Apa yang menyeronokkan dalam bengkel berkenaan, apabila setiap ahli begitu professional dan bijak mengutarakan pendapat demi kepentingan syarikat (negara). Rata-rata adalah rakan kerja saya di bahagian lama. Memang mudah beriteraksi dalam suasana sedemikian. Setiap cadangan dihormati, diperdebatkan dengan penuh tanggungjawab. Kepercayaan diberikan kepada pengerusi untuk merumuskan cadangan.
Hari ini, bengkel disambung tanpa saya. Mungkin selesema rakan yang duduk di sebelah saya sudah berjangkit. Hari ini terpaksalah bekerja dari rumah (telecommuting). InsyaAllah, jika niat kita betul, pandangan dan tingkah laku kita betul, pasti ada orang yang akan hormat dan percaya dengan buah fikiran yang kita berikan. Kita jangan pula mendabik dada dan berperasaan riak, itu semua datangnya dari Allah untuk disampaikan agar mendapat kebaikan.
Selamat bercuti dan menyambut tahun baru Cina bagi yang merayakannya.
~md - letih tidur lama-lama.

.:: Khidmat Pakar ::. - Rabu, 2 Februari 2005
Masalah kronik biasanya akan dirujuk kepada pakar bidang tersebut (subject matter expert). Jika sakit yang dihidapi tidak boleh sembuh dengan memakan ubat dari klinik biasa, kita digesa untuk mendapatkan rawatan di hospital pakar.
Dalam tugasan seharian pun begitu. Keperluan pakar dalam bidang tertentu memang tidak dapat dinafikan kepentingannya. Kekurangan tenaga pakar akan menjadikan sesebuah organisasi kurang mantap dan efisyen.
Kos untuk melatih pekerja biasa untuk menjadi tenaga pakar bukanlah mudah dan murah. Jika keperluan kepakaran yang dikehendaki itu amat mendesak, biasanya syarikat akan meng'import' pakar dari organisasi lain. Menjadi pakar bukanlah semudah dan seindah yang dibayangkan. Mencari pakar juga bukan semudah yang dijangkakan. Pakar pula tidak semestinya pakar dalam semua perkara.
Bila yang tidak pakar bertemu yang mengaku pakar, tanda soal besar timbul di atas kepala apabila permasalahan tidak juga selesai.
~md - terkapai-kapai
