|
Popular walaupun tiada bakat? - 20 Februari 2004
Saya melawat website 8tv (rangkaian TV baru di Malaysia) dan masuk ke blog CEO mereka iaitu saudara Ahmad Izham Omar. Salah satu entry blog beliau menyentuh berkenaan "William Hung". Terpanggil untuk mengetahui kisah sebenar W.Hung, saya membuat carian gi Google dan terjumpa video clip ini.

Imej oleh: NerdySouth.com
Nampaknya fenomena William Hung menjadi kegilaan di Amerika. Ada sahaja orang yang ingin membuat sesuatu ke atas situasi ini. Ada yang menjual t-shirt William Hung di Ebay, ada yang mewujudkan laman "fan club" dan tidak kurang rancangan-rancangan "Talk Show" yang menjemput William Hung untuk ditemuramah.
Kejujuran dan sifat "naive" William Hung begitu mendapat liputan luas dan berjaya menjadikan beliau "true American Idol". Pada saat beliau membuat persembahan tersebut, hampir semua orang mentertawakannya, tetapi apabila beliau menjawab dengan penuh ikhlas "saya telah mencuba sebaik mungkin, tiada apa yang harus saya kesali" membuatkan jiwa kita tersentuh dengan keikhlasannya - satu elemen yang tidak boleh dibuat-buat. 8tv dengarnya ingin mengadakan rancangan seumpama ini yang diberi nama Malaysian Idol. Kita lihatlah pula apa yang jadi.
~md - tenang jiwa bila berurusan dengan orang jujur -
Dari hal Makanan - 19 Februari 2004

Imej oleh:BERNAMA, Malaysia
Makan untuk hidup, atau hidup untuk makan? - ungkapan mudah yang selalu menjadi "debat ringan" ketika tiada apa yang ingin dibicarakan. Akhir-akhir ini, isu "bird flu" begitu tersebar luas, hinggakan pasar-pasar malam juga tidak terkecuali terkesan dengan isu ini.
Label seperti "Ayam tempatan" pernah saya lihat di gerai ayam pasar malam berdekatan rumah saya. Mungkin gara-gara Malaysia banyak mengimport daging ayam dari negara jiran (Thailand), pengguna rungsing kalau-kalau ayam di negara tersebut dijangkiti wabak influenza (bird flu). Di mana, wabak ini boleh juga menjangkiti manusia.
Semalam (18 Februari 2004), jemaah menteri selepas mesyuarat kabinet telah beramai-ramai "makan ayam" sebagai meyakinkan rakyat Malaysia agar tidak khuatir untuk membeli ayam di pasaran. Sewaktu saya menonton klip video acara tersebut dalam siaran berita di TV, agak lucu aksi menteri-menteri yang "terpaksa" makan ayam sambil dirakam aksi mereka.
Mungkin kalangan peniaga ayam perlu mencongak untung rugi mereka di kala wabak selesema burung ini berlaku. Jika ianya berpanjangan, saya rasa KFC, McD, Nandos, dan banyak lagi rangkaian perniagaan berasaskan ayam boleh gulung tikar. Dalam pada itu, ada yang mengatakan ikan juga tidak terkecuali daripada bahaya (ikan import). Ada antara pengeksport ikan menyembur sejenis kimia yang digunakan kepada mayat untuk tujuan awet (supaya tidak cepat busuk). Kalau benarlah begitu, hai makan pucuk ubi cicah garamlah jawabnye menu harian kita :-).
~md - nak mengail dalam akuarium -
Melentur Buluh biarlah dari rebung? - 14 Februari 2004

Imej oleh: Pusat Internet Desa, Bau, Sarawak
Saya agak sedih bila mendengar kisah dari seorang rakan tentang masalah adik perempuannya yang agak bermasalah. Latar belakang keluarga beliau adalah kalangan orang baik-baik. Bermacam cara telah dibuat untuk membentuk adik beliau agar menjadi orang yang berguna, tidak berkelakuan sumbang dan yang lebih penting lagi tidak melanggar batasan syarak. Apa yang menyedihkan, segala percubaan dan penat lelah yang dicurahkan bagaikan tidak mendatangkan hasil langsung.
Puncanya ialah kerana terlalu "percayakan" kepada keupayaan adik beliau untuk menjaga diri (berdikari) apabila berada diluar kawalan keluarga memandangkan adiknya sudah telah bekerja dan dewasa. Kepercayaan ini walaubagaimanapun tidak dihargai oleh adiknya. Kini keluarga beliau menjadi bingung apakah cara untuk menangani masalah ini sebaik mungkin. Diberitahu bahawa adik beliau gemar ber"chat" di Internet dan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan chat yang didekatinya.
Saya bersimpati dengan keadaan yang dialami rakan saya itu, namun saya sendiri tidak ada jalan penyelesaian kerana saya tidak pernah mengalami situasi sebegini. Jika hendak dikatakan tiada didikan yang baik dari sudut agama dan pelajaran, itu tidak benar, kerana keluarga beliau begitu menitik beratkan hal tersebut. Mungkinkah "cultural shock" yang menjadikan adik beliau begitu (terasa bebas apabila tiada siapa lagi mengongkong kehidupan). Atau mungkinkah persekitaran dan rakan-rakan beliau yang mendorong kepada permasalahan ini?. Saya khuatir dengan situasi ini, jika perkara sebegini boleh berlaku kepada keluarga beliau, saya fikir ianya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Adakah kita bersedia jika kejadian ini menimpa keluarga kita sendiri? - na'uzubillah.
~md - kata pepatah: "Lebih senang menjaga kerbau sekandang, dari menjaga anak dara seorang" -
Ah, Kalaulah... - 11 Februari 2004
Kadangkala, kita tidak dapat merencana apa yang kita hajati mengikut perkiraan
dan perancangan yang rapi. Ini adalah kerana, sebagai manusia biasa, kita
serba serbi lemah dan kurang dalam mencorak kehidupan kita sesempurna mungkin.
Namun ini tidak bermaksud kita harus menjadikan situasi sebegitu sebagai alasan
apabila ditimpa musibah dan masalah.

imej oleh: projek lebuhraya SPRINT
Bayangkan anda memandu di lebuhraya dan sampai ke plaza tol yang amat sibuk.
Ada banyak lorong untuk membayar tol, tetapi deretan kenderaan yang panjang
seolah-olah tiada harapan untuk kita "melompat" keluar di hadapan tol sebelah
sana. Pada waktu itu jugalah, kita harus cekap mencongak berdasarkan naluri
(instinct) kita untuk memilih lorong mana yang paling cepat untuk kita sampai
kepada pengutip bayaran tol. Seolah-olah ada "permainan" tidak langsung antara
semua pemandu. Silap haribulan, akan berlaku kemalangan kerana pemandu yang
tidak berhemah menukar lorong pada saat akhir.
Pada satu sudut pandangan,
ternampaklah ada satu lorong yang "agak lengang" tetapi hanya mereka yang
mempunyai "tag hikmat" sahaja dapat menggunakan lorong istimewa itu. Pada saat
itulah, terlintas "ah, kalaulah aku ada TAG seperti mereka itu, kan cepat boleh
lepas..."
Keadaan kedua, katakan syarikat kita tiba-tiba mendapat peluang untuk
menjalinkan urusan perniagaan dengan sebuah syarikat di luar negara. Satu
mesyuarat penting dijadualkan diadakan 3 hari lagi dari hari anda menerima berita
tersebut di pejabat syarikat berkenaan di luar negara - dan anda perlu hadir
ke sana. Malangnya, anda tidak mempunyai passport antarabangsa kerana anda
rasakan membazir membayar RM300.00 untuk satu dokumen perjalanan yang tidak
tahu bila ingin digunakan (semata-mata tidak percaya dengan kata-kata,
"kot-kotlah nak pakai"). Maka terpacullah kata-kata "ah, kalaulah aku ada
passport, sure dah boleh pergi...".
Kesimpulannya, tidak mudah untuk kita mempersiapkan diri kita dengan segala
kemungkinan agar kita sentiasa "bertuah" dan "berjaya". Namun kekurangan ini
tidaklah bermaksud kita akan gagal, tetapi sepatutnya menjadikan kita lebih matang
dalam menguruskan kehidupan kita dengan persiapan dan alternatif lain.
Bak kata orang bijak pandai "Jika anda gagal merancang, anda sebenarnya merancang untuk gagal!".
~md - tengah work on "SMS" project -
Kemudahan yang Memudahkan - 5 Februari 2004
Semalam, setelah agak sekian lama saya tinggalkan keseronokan "bermain" dengan Linux OS, saya gunakan kesempatan waktu malam sebelum tidur untuk mencuba configure Modem yang sememangya tidak "linux-friendly" (Winmodem - modem yang terpasang siap beserta dengan peranti lain seperti VGA, kad bunyi, kad rangkaian dan sebagainya yang hanya serasi dengan OS Windows).
Setelah puas memeriksa dan cuba-jaya tips-tips yang diperolehi dari pencarian Google, alhamdulillah akhirnya "winmodem" tersebut berjaya di"hidup"kan. Apa yang paling memuaskan hati saya ialah, saya dapat selesaikan masalah ini yang sebelum ini dirasakan mustahil. Rupa-rupanya selang beberapa bulan sahaja, terdapat pertambahan maklumat baru di Internet yang telah membantu saya menyelesaikan masalah ini.
Saya berpendapat, sekiranya Internet tidak ada pada hari ini, mungkin masalah saya tadi (terutama perkara teknikal) akan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan (atau mungkin saya tidak berminat lagi untuk selesaikannya). Jika sesetengah pihak berpendapat "tiada apa yang boleh kita perolehi dari Internet selain dari membuang masa - chat, games, pornografi", saya fikir individu berkenaan harus menimbang kembali pendapat berkenaan.
Apa yang penting, kewarasan dan kematangan berfikir oleh pengguna Internet (etika berInternet) adalah penentu kepada kesan penggunaan yang sebenar. Kita harus mula mengambil faedah yang banyak dari kemudahaan canggih ini, kerana jika tidak, kita akan tertinggal jauh di belakang. Sekarang adalah zaman maklumat di hujung jari anda!
Tambahan:
1) Artikel berkaitan Internet dan Orang Melayu oleh Harian Metro
2) Sejarah bermulanya Internet di Malaysia
~md - Internet"holic" -
Cerdas Emosi - 4 Februari 2004
Saya tertarik dengan artikel ini yang membincangkan faktor kestabilan diri individu yang didalangi kecerdasan emosi. Selama ini, kita sering didedahkan dengan perkataan kecerdasan fikiran, yang mana manusia rata-rata ingin mencapai yang paling baik.
Malah terdapat sebuah konsortium penyelidikan kecerdasan emosi ditubuhkan bagi mengkaji bidang ini secara ilmiah.
Kecerdasan emosi rupanya dapat membantu kita tenang dan seronok mengecapi kehidupan seharian kita. Jadi mulai hari ini, janganlah kita abaikan emosi kita yang "kurang cerdas", sebaliknya rajin-rajinlah mencerdaskan emosi kita, manalah tahu suatu hari nanti ada pengiktirafan pula untuk mereka yang memiliki emosi tercerdas! (wah, macam mana lah tu agaknya). Kalau anda ingin menguji tahap kecerdasan emosi anda, cuba lawati laman ini dan ini.
~md - Emosi ikut keadaan -
|