Blog Kegemaran

  • The Reader
  • Organised Chaos
  • Sangkelate
  • AnA
  • Ummi
  • MBA
  • Sarini's Space
  • Malaysian Idiot
  • Pok Ku Bustaman
  • jiwarasa
  • Sekuk
  • Sham
  • WiraOne
  • Latif's Portfolio

    Arkib

    2006:

  • Blog Baru
  • Post Terakhir| Jan|

    2005:

  • Nov| Okt|
  • Sep| Ogo| Jul
  • Jun| Mei| Apr
  • Mac| Feb| Jan

    2004:

  • Dis| Nov| Okt
  • Sep| Ogo| Jul
  • Jun| Mei| Apr
  • Mac| Feb| Jan

    Pautan Berguna

  • Fadhilat Amalan
  • Perisian Islam

    Pautan Menarik

  • Photo Realism Art
  • Emotion Eric

    Produk Rakan-Rakan

  • Knowledge Mgmt.
  • Workflow System
  • SMS Service
  • Web Development
  • IT Security


  • .:: Pena Maya Mencoret ::.
    "Tanggungjawab adalah cabaran, bukan masalah!"


    .:: Hujung Minggu di Hujung Tahun ::. - Isnin, 27 Disember 2004

    Sabtu dan Ahad lepas adalah hujung minggu terakhir sebelum kita melangkah masuk ke tahun 2005. Kesempatan bercuti bersama keluarga digunakan sebaik mungkin. Bermula sebelum subuh pagi Sabtu, ke pasar borong Selangor untuk mencari bekalan makanan untuk minggu hadapan.

    Sampai di rumah, lepas solat subuh, ajak anak-anak ke Taman Tasik di Bandar Baru Bangi untuk beriadah sambil menghirup udara segar pagi. Lebih kurang 1 jam beriadah, destinasi seterusnya Restoran Yus di Sg. Ramal sebelum pulang ke rumah. Roti canai, mi rebus dan nasi lemak jadi hidangan sarapan pagi kami. Entahlah, bersenam tak seberapa, lemak pun tak berkurang lagi, dah "menyental" sakan.

    Imej oleh: Bali Island Hotels

    Taman Ceria Tengahari, memenuhi jemputan kahwin sahabat isteri di Bandar Tun Hussein Onn. Tak sangka terjumpa kawan lama semasa di kampus dulu. Majlis-majlis sebegini memang lumrah berjumpa orang yang lama tidak kita temui, walaupun pengantin bukan rakan sekuliah atau sepejabat.

    Petang, ke Teras Jernang (Bangi). Jiran saya ajak melihat tanah yang telah dibeli untuk tapak rumah barunya. Persekitaran agak menarik. Dengan suasana damai kampung, insfrastruktur juga memuaskan. Ada beberapa lot lagi yang kosong, harganya RM20.00 sekaki persegi. Rasanya agak mahal, sebab ada ternampak iklan di kawasan sekitar Sungai Merab dan Dengkil yang masih di bawah RM20.00 skps. Tengoklah, kalau ada rezeki teringin juga.

    Malam, singgah di rumah abang ipar jiran saya tadi di Bangi Perdana. Alang-alang dah berada berdekatan kawasan Bangi, teruslah singgah. Meriah sekali suasana di rumah beliau. Menurut jiran saya, memang lumrah keluarga beliau yang tinggal di KL untuk berkumpul di hujung minggu di rumah adik-beradik (bergilir-gilir). Patutlah saya nampak adik ipar mereka di Rawang pun ada sama. Juadah yang disajikan juga mengingatkan hari pertama kami berada di bumi UK dahulu. Spagetti dan Trifle.

    Balik ke rumah sudah hampir pukul 9 malam. Perut pun dah kenyang, tinggal untuk solat Isyak sahaja lepas tu boleh beristirehat. Tiba-tiba saya diberitahu oleh pembantu rumah, ikan jenahak yang saya beli pagi tadi tak berapa elok. Aiseymen. Patutlah murah semacam, RM8.00 sekilo. Saya dah belek tengok insang dan picit-pcit badan ikan tu masa memilih. Nampak OK aje. Tak ada rezeki lah kali ni.

    Ahad ke rumah mertua di Kg. Datuk Keramat. Sambil tu, sempat ke Carrefour Wangsa Maju untuk beli kain baju melayu sekolah agama anak saya di Nagoya Textile. Kalu nak ikutkan dah lewat dah untuk tempah baju melayu waktu-waktu sebegini. Nasib naik Mak Long budak-budak tu boleh menjahit. Tengahari makan di rumah Emak. Masakan ketam Mak memang tak boleh tahan. Kalau tak fikir orang lain pun nak makan sama, habis ketam-ketam tu saya kerjakan. Nasib baik Mak ada bungkuskan sikit untuk di bawa balik :-). Petang berlepas balik ke rumah.

    Pendek kata, hujung minggu lepas penuh diisi aktiviti yang menarik yang melibatkan ahli keluarga, jiran, rakan, dan masyarakat sekeliling. Hujung minggu anda bagaimana?

    ~md - selamat tahun baru


    .:: Peramah ::. - Khamis, 23 Disember 2004

    Anda seorang peramah?.

    Sikap peramah ni memang baik. Ramai pelancong tertarik dengan budaya masyarakat Malaysia yang sememangnya peramah. Dengan sesiapa sahaja kita boleh bertegur sapa jika diajak berbual.

    Cuma kadangkala, jika terlalu peramah, ada juga terasa sedikit gangguan. Ada ketikanya kita tiada "mood" untuk berbicara panjang lebar, terutama di pagi-pagi hari. Ditambah pula jika malam sebelumnya anda tidak cukup rehat.

    Ada satu cerita mengenai seorang "kakak" di dalam lif tadi. Ditegur sapa hampir semua orang di dalam lif yang kebanyakannya masih dalam "mood pagi". Ada yang membalas sapaan dengan ikhlas (dari riak muka) dan ada yang senyum-senyum sumbing. Memang "kakak" ni seorang yang peramah, walaupun beliau bukan dari bahagian yang sama. Saya jamin dia tentu tidak tahu pun nama kami semua dalam lif tersebut. Namun atas sikap ramah tamahnya, memang lumrah lihat beliau begitu.

    Saya perasan ada yang dah mula "bosan" nak layan kakak ni. Topik yang diutarakan agak serius dan perlukan masa yang lama jika ingin dibicarakan. Maklumlah dalam lif, berapa minit sangat kita boleh tunggu. Lagi parah kalau "disengkangnya (tahan)" pintu lif dari tertutup semata-mata mahu menghabiskan bicaranya. Haru.

    Rasanya nak jadi peramah kenalah berpada-pada. Silap haribulan, nampak aje kelibat kita yang "peramah" ni, siang-siang orang dah cabut. Begitulah adanya cerita di pagi khamis.

    ~md - selamat beramah mesra


    .:: Phewwww... ::. - Rabu, 22 Disember 2004

    Kalaulah boleh saya berehat 2-3 hari, alangkah seronoknya. Tetapi lusa ada satu lagi audit untuk perlaksanaan 5S. Nampaknya kena tunda dulu hajat.

    Hari ini dan sejak 2 minggu lepas adalah hari-hari yang "hectic". Maklumlah baru kali pertama diaudit oleh SIRIM setelah pembubaran struktur organisasi syarikat sejak 1 Julai lalu.

    Esok adalah hari terakhir sesi audit sepanjang 30 hari yang telah dijalankan ke atas semua bahagian-bahagian di bawah "Network Operations" syarikat tempat saya bekerja. Esok juga adalah audit peringkat ibu pejabat dan "closing meeting" akan dilakukan di sana.

    Untuk audit bahagian kami yang baru selesai sebentar tadi, rasanya penat lelah dan kerjasama yang telah dicurahkan membuahkan hasil yang menggembirakan. Bahagian kami tidak dikenakan apa-apa NCR. Semua yang terlibat sekarang mampu mengukir senyuman. Terasa benar-benar lega.

    Izinkan saya berehat sebentar.

    ~md - auditor kata inilah sesi audit terlama pernah dibuat - 30 hari


    .:: Ini Susah Ooo ::. - Jumaat, 17 Disember 2004

    ISO. Hampir semua syarikat yang berkembang maju dan mempunyai tanggungjawab untuk memberi produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan, pemegang saham, pembekal dan negara akan bertungkus lumus mahu diakreditasikan dengan pensijilan ISO.

    ISO juga lambang keupayaan sesebuah syarikat memberi jaminan mutu kerja dan kualiti perkhidmatan di tahap paling baik. Apa yang dibuat, mesti didokumenkan. Apa yang tercatat dalam prosidur (dokumen) mesti dibuat. Dan perlu ada usaha meningkatkan prosidur kerja secara berterusan. Itu antara intipati implementasi ISO.

    Rabu depan, insyaAllah bahagian saya akan diaudit oleh SIRIM untuk pensijilan ISO 9001:2000. Banyak kerja-kerja kemaskini dan semakan dibuat setiap hari menjelang hari yang dinanti. Sesi diskusi berterusan dibuat untuk mempastikan setiap kakitangan melaksanakan QMS dengan jayanya tanpa kesilapan.

    Jika cara kerja sebegini dijadikan sebagai kebiasaan, nescaya produktiviti dan prestasi kerja boleh meningkat. Bukan sahaja dibuat kerana ada audit ISO. Mudah-mudahan kami akan berjaya. Hari ahad ni ada mesyuarat persediaan. Cuti?, berkorban demi kejayaan.

    ~md - cuti dibekukan sementara


    .:: Hilang Ingatan? ::. - Rabu, 15 Disember 2004

    Daya ingatan manusia memang luar biasa. Ingatan pula terbahagi kepada beberapa bahagian. "Seingat" saya yang paling popular ada dua, ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang.

    Daya mengingat pula berbeza-beza antara seseorang individu. Ada yang mampu mengingat segala-gala yang pernah dilaluinya. Ada yang mempunyai ingatan "fotografik", mampu menyatakan kembali apa yang dibaca atau dialami dengan tepat dan jelas. Ada pula yang hanya dapat mengingat dalam tempoh jangkamasa yang singkat.

    Kata orang, ingatan juga boleh cepat hilang jika termakan semut, kepala ikan bilis atau makan makanan yang diperam (seperti kicap dan yang sewaktu dengannya) dan melihat benda berunsur fitnah (pendedahan aurat, bahan lucah, dan sebagainya). Tidak tahulah sejauh mana bukti saintifik yang boleh dikemukakan.

    Faktor usia juga boleh mempengaruhi daya ingatan seseorang. Semakin lanjut usia kita, semakin sukar untuk kita "mencapai" data-data lama yang tersimpan di dalam neuron otak kita. Semakin tahulah kita bahawa usia kita telah membataskan segala-galanya.

    Hilang data dalam cakera keras (hard disk) komputer boleh diusahakan untuk pemulihan (recovery) dengan pelbagai cara. Hilang data dalam kepala otak kita, sukar untuk cari teknik pemulihan.

    Untuk itu, selagi ada saki-baki data berguna yang masih tersemat dalam otak kita, pergunakanlah ke arah jalan kebaikan. Jika ada secebis ilmu yang bermanfaat, sebarkanlah. InsyaAllah ganjarannya amat besar di sisi Allah.

    ~md - tersalah bawak fail. apalah yang diingat semalam?


    .:: Puduraya 1994 ::. - Selasa, 14 Disember 2004

    Puduraya memang banyak Bas. Ramai orang datang dan pergi ke pelbagai destinasi. Puduraya juga penuh dengan suka duka, kisah lama yang megimbau kenangan.

    Puduraya Hari ini, buat kali ke 9 saya ucapkan Selamat Hari Lahir kepada isteri tersayang. Cinta pandang pertama terdetik di Puduraya. Saat pertemuan jodoh yang ditetapkan oleh Allah.

    Buat isteri tersayang,

      Selamat hari lahir
      Abang doakan sayang beroleh kedamaian hidup
      dan tercapai hasrat dan cita-cita yang dihajati
      Semoga menjadi isteri dan ibu solehah

        Terima kasih atas pengorbanan dan penat lelah
        Melahirkan dan mendidik anak-anak permata hati
        Tabah dan sabar dengan perilaku abang dan anak-anak
        Semoga mendapat balasan rahmat dari Allah

      Sayang,
      Hari ini adalah hari istimewa buatmu
      Penuhilah dengan doa dan kesyukuran kehadratNya
      Semoga hidup kita akan diberkati
      Bahagia hendaknya dunia dan akhirat

      Selamat hari lahir buatmu.

    ~md - lama tak pegi puduraya


    .:: Makan Dalam ::. - Jumaat, 10 Disember 2004

    Kalau lapar, biasanya kita makan. Lepas makan, rasa kenyang. Lepas kenyang, mulalah nak terlelap.

    Jenis makanan pula bermacam-macam. Ada yang manis, masin, masam, kelat, pedas dan pahit. Ada yang berminyak, berlemak, berkuah dan bermacam-macam lagi lah. Orang kita ni, memang hebat tentang makan.

    Kalau makan biasanya kena mengunyah. Tapi ada juga makanan yang tak perlu dikunyah. Sedar-sedar dah "masuk". Lepas tu dapatlah kita tengok tindak balas "eksotermik" atau "endotermik" terhadap si pemakan. Yang eksotermik, bahang dia memang nampak secara lahiriah. Kalau banyak sangat yang di "telan" kadang-kadang "termuntah" balik, ada lah yang kena "lap".

    Yang endotermik ni yang susah sikit nak telah. Habis kuat nampak merah padam saja muka. Nak tunggu dia muntah tak muntah. Nak tunggu dia "terkentut" tak juga. Sedar-sedar dia "pengsan". Hah, haru pulak. Kena panggil "ambulans".

    Emmm... teringat pakcik dalam iklan Astro. Macam-macam adaaa...!. Ada orang mulut tempayan, ada orang mulut laser, ada orang simpan emas dalam mulut, dan ada orang yang pendam saja apa yang diterima. Cobaaaannnnn.

    ~md - nak makan pil senyum


    .:: Gusti vs. Taichi ::. - Rabu, 8 Disember 2004

    Adat kita sebagai manusia, serba lemah, serba kekurangan. Hatta orang kuat sekali pun ada kelemahannya. Bila sakit datang menimpa, terkulai juga dibuatnya.

    Kadang-kadang kalau dah takde cerita di TV, saya tengok juga rancangan gusti. Walaupun ada khabar mengatakan semua tu lakonan saja. Sebenarnya mereka tu semua (ahli gusti) adalah ahli "stunt" terlatih. Tak kisahlah, kena tipu pun tipulah. Saja layan mata sebelum lelap.

    Dekat pejabat pun ada rancangan "gusti". Tapi gusti ni "real", bukan berlakon. Kadang-kadang kecederaan selepas satu-satu perlawanan memang parah. Hebat sungguh penangan "ahli gusti" yang kuat tu. Kalau tengok saiz badan, kecik saja. Kalau tersigung sikit aje pun, mau pengsan dibuatnya. Kalau setakat ahli gusti amatur macam saya, memang kena ligan sekali hentak aje.

    Tapi ada seorang ahli gusti ni saya tengok lemah bila berdepan dengan "Taichi Master". Kagum saya dengan "aura" taichi master ni. Dalam kelembutan boleh dipelangkung saja ahli gusti yang hebat itu. Tercengang orang melihatnya. Mula-mula dulu suka jugalah bila dapat tengok ahli gusti dah hilang taring sejak taichi master muncul. Tapi akhir-akhir ini tak larat pula dengan "aura" taichi master. Semua tepisan jurus-jurus perlawanan yang dilalui terkena kepada kami semua. Aduh. Sakit sungguh.

    Saya dah mula tengok rakan-rakan dah berkira-kira untuk belajar "silat pulut". Entah apa "buah" kias yang akan dipelajari masih menjadi misteri.

    Tak usahlah berlawan-lawan. Sakit dapat, susah pun dapat. Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Kalau dah memang tanggungjawab kita, pikullah, tak usah berdolak dalik. Kan itu amanah namanya. Entahlah labu....

    ~md - pasang firewall (baca doa "pendinding")


    .:: Pening Akhir Tahun ::. - Isnin, 6 Disember 2004

    Tahun 2004 sudah hampir sampai ke penghujung. Pelbagai laporan perlu dikemaskini untuk dihantar kepada pihak atasan. Mesyuarat juga sudah tidak keruan. Asal ada saja isu yang belum selesai, adalah mesyuarat tergempar.

    Begitulah juga dengan urusan dengan anak-anak. Akhir tahun, berdenyut-denyutlah kepala emak bapak. Dengan persiapan baju sekolah, yuran sekolah, itu ini, mahu rabak juga poket kita dibuatnya. Semuanya nak yang baru, kalau tak merajuk tak mahu panjat tangga bas sekolah. Budak-budak zaman sekarang.

    Seingat saya dahulu, kalau tiba tahun baru, yang paling seronok sekali ialah, ayah saya akan belikan sepasang kasut sekolah baru. Itu mesti. Baju dan seluar, jarang-jarang dapat yang baru. Kalau dah koyak teruk barulah dibeli. Kalau tidak, saya akan pakai baju abang saya, ataupun baju saya yang tahun lepas. Seluar pun begitu. Saya tidak merungut, sebab memang begitulah resmi hidup orang susah. Abang-abang saya pun sama, kawan-kawan lain pun sama, jadi tak hairan sangat. Sebab tu bila dapat persalinan baru, macam dapat hadiah bonanza hari raya. Diameter hidung yang sudah sedia ada besar pun rasa sedikit mengembang seketika.

    Bila dah ada anak sendiri, tak sampai hati pulak nak buat macam yang pernah saya lalui. Mahu terkejut beruk kalau saya buat macam tu. Pergi sekolah mesti panjang muncung, boleh simpul riben di bibir. Tak apalah, tak kisahlah, beli baru pun belilah. Tapi keputusan periksa biarlah cantik macam pakaian dan beg sekolah. Kalau sebaliknya, memang tak samalah macam orang dulu-dulu bersekolah. Orang dulu-dulu walaupun kemudahan dan kelengkapan tidak seberapa, mereka masih bersemangat untuk mencuba. Kalaulah semangat mereka itu dimiliki anak-anak sekarang, alangkah baiknya.

    Saya tabik kepada emak bapak saya. 9 orang berjaya dibesarkan, disekolahkan, diberi makan pakai seadanya. Harap-harap saya pun boleh pikul tanggungjawab sama untuk besar dan "baja" anak-anak saya pula. Yelah, mereka juga yang nak kita harapkan baca doa dan buat amal soleh bila kita dah tak ada, ye tak.

    ~md - kena bentang budget akhir tahun


    Penulis
    MD
    Kuala Lumpur, Malaysia.

    Penafian
    Segala tulisan di dalam
    laman ini adalah luahan rasa
    Penulis yang tidak bermaksud
    untuk menyinggung perasaan
    sesiapa. Jika anda tidak
    berpuas hati, sila maklumkan
    kepada Penulis.
    ~
    ~
    ~
    :w index.shtml (Dihasilkan menggunakan vi dan SSI directive)
    --- IP anda ialah 38.107.191.114 sebelum ini anda melayari site (none) menggunakan CCBot/1.0 (+http://www.commoncrawl.org/bot.html)