.:: Ribut dan Kalut ::. - Rabu, 27 April 2005
Bumi sudah bergegar
Paksi sudah bergoncang
Rekah tanah kian membelah
Gunung pecah menyembah bumi
Mata kian pudar
Pandangan berpinar-pinar
Firasat kian kusut
Otak berpusing-pusing
Mulut berbuih-buih
Lidah kian kelu
Bibir menggetap pilu
Suara tiada gema
Telinga jadi tuli
Gegendang tiada getar
Bunyi telah hilang
Desiran angin tanpa irama
Manusia jadi kalut
Manusia jadi takut
Manusia jadi ribut
Adakah ini panggilan maut?
~md - bicara hati

.:: Team Building ::. - Isnin, 25 April 2005
Isnin hingga Rabu minggu lepas (18-20) saya berpeluang mengikuti program team building yang dianjurkan oleh syarikat. Program ini menemukan kakitangan eksekutif dari pelbagai bahagian untuk bersama-sama berkursus bagi meningkatkan pengetahuan untuk lebih cemerlang , gemilang dan terbilang (Opps PM punya trademark).
Memang tidak dinafikan, pengisian kursus tersebut amat bermanfaat. Ditambah lagi dengan acara yang diolah untuk menampakkan lagi maksud setiap modul pengajaran, program tersebut tidak mendatangkan kebosanan walaupun terpaksa duduk di dalam bilik kuliah dari jam 8.30 pagi hingga lewat tengah malam.
Sejajar dengan perubahan pada nama dan logo syarikat, kami sebagai kakitangannya juga digesa untuk berubah. Visi syarikat untuk menjadi pilihan terbaik dan memberi kepuasan kepada pelanggan dan pemegang saham haruslah dibuktikan. Perubahan besar perlu dimulakan dari diri sendiri. Di dalam fikiran perlu ditanamkan sifat boleh mencapai apa yang diinginkan. Semangat kerja berpasukan perlu diperkemaskan. Matlamat dan sasaran perlu difokus dengan tepat. Mudah-mudahan semuanya akan diterjemahkan dengan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.
Tamat kursus, kebetulan cuti Maulidur-Rasul pada hari Khamis, saya memang dah apply siang-siang lagi cuti hari Jumaat, jadi dapatlah berehat panjang sedikit bersama keluarga di rumah. Minggu ni, sepatutnya kena pergi ke Taiping untuk satu lagi kursus pengurusan Kualiti (untuk anugerah Perdana Menteri), namun saya terpaksa tarik diri kerana banyak urusan lain yang masih tertangguh. InsyaAllah di lain kesempatan.
Cabaran selepas balik kursus ialah, melaksana dan mengekalkan apa yang telah dipelajari dan yang perlu dipraktik secara berterusan (istiqamah). Biasanya susah nak kekal lama :-(.
~md - 'mental model' masih macam dulu?

.:: Apa ada pada nama? ::. - Sabtu, 16 April 2005
Nama adalah satu milik yang indah dipunyai oleh setiap manusia. Ada nama pendek, nama panjang, nama gelaran, nama samaran, nama chit-chat dan macam-macam nama lagi yang diguna pakai oleh kita. Menulis blog seumpamanya, adakalanya kita menggunakan nama samaran atau nama pena.
Biasanya, nama kita diberikan oleh kedua ibu-bapa (kadangkala datuk/nenek atau orang alim). Bila sudah bernama, jarang sangat kita tukar nama asal kita kepada nama lain, melainkan jika nama asal yang diberikan terlampau aib (ada juga kepercayaan lama, kalau anak selalu menangis, namanya tak serasi) untuk dipakai. Cuma ada jugalah kalangan yang menceburkan diri di bidang hiburan, suka mengubahsuai nama asal kepada nama glamour. Mungkin mereka ada alasan sendiri yang kita tak dapat pertikaikan.
Berbalik kepada nama, di akhirat nanti, kita akan dipanggil dengan nama kita. Justeru kita disarankan memberikan nama yang indah dan elok kepada anak-anak kita. Nama yang mempunyai pengertian yang baik. Harap-harapnya, bila nama baik, perangai dan akhlak juga begitu. Ada juga kita lihat, nama macam nama Nabi, tapi perangai "Yarabbi".
Kalau manusia mempunyai nama, makhluk seperti binatang, tumbuhan, kejadian alam, produk dan perkhidmatan juga mempunyai nama tersendiri. Kita dapat membezakan sesuatu benda melalui namanya.
Tidak hairanlah, syarikat tempat saya bertugas sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk menukar nama kepada yang lebih bersifat global dan dinamis. Itu tidak termasuk belanja keseluruhan untuk menggantikan logo lama, pas pekerja, business card, sampul surat, kepala surat, laman web, cat kenderaan, dan bermacam lagi item yang memaparkan logo dan nama lama.
Rupa-rupanya nama ayah saya juga ada nilai komersil (mungkin lebih bersifat akademik). Cerita lanjut di sini.
~md - guna nama pena

.:: Balada Penulis Maya ::. - Jumaat, 15 April 2005
Aku menulis bukan untuk mengemis
Aku menulis bukan kerana dipaksa
Aku menulis bukan untuk mengguris
Aku menulis bukan kerana disiksa
Ada yang mungkin suka
Ada yang mungkin benci
Ada yang mungkin berduka
Ada yang mungkin sangsi
Aku menulis perihal perlakuan
Aku menulis perihal pengorbanan
Aku menulis perihal kebajikan
Aku menulis perihal kejahatan
Apakah pernah kita memeriksa
Apa yang tertulis di "kiri" dan "kanan" kita?
Tulisan yang kekal untuk dibawa ke "sana"
Bertemu Rabbul `Alamin Tuhan Alam Semesta
~md - selawat dan salam buat Nabi Muhammad S.A.W

.:: Bayangkan.. ::. - Khamis, 14 April 2005
Nota: Artikel ini diambil dari email mailinglist. Kredit kepada penulis sebenar yang tidak dinyatakan di dalam email tersebut.
Bayangkan apabila Rasulullah SAW dengan seizin Allah
tiba-tiba muncul mengetuk rumah kita
Beliau datang dengan tersenyum dan
muka bersih dimuka pintu rumah kita
Apa yang akan kita lakukan?
Mestinya kita akan sangat berbahagia
memeluk beliau erat-erat
dan lantas mempersilakan beliau masuk ke ruang tamu kita
Kemudian kita tentunya akan meminta dengan sangat
agar Rasulullah SAW sudi menginap beberapa hari di rumah kita
Beliau tentu tersenyum.....
Tapi barangkali
Kita meminta pula Rasulullah SAW menunggu sebentar
di depan pintu kerana kita teringat video CD Rated 18xxx
yang ada di ruang tengah, dan kita tergesa-gesa memindahkan
dahulu CD tersebut ke dalam.
Beliau tentu tetap tersenyum.....
Atau barangkali,
kita teringat akan lukisan wanita separuh telanjang
yang kita gantung diruang tamu kita,
sehingga kita terpaksa juga memindahkannya
ke belakang secara tergesa-gesa..
Barangkali kita akan memindahkan lafaz Allah dan
Muhammad yang ada diruang samping dan meletakkannya
diruang tamu.
Beliau tentu tersenyum.....
Bagaimana bila Rasulullah SAW bersedia menginap dirumah kita?
Barangkali kita teringat bahawa anak kita lebih hafal lagu-lagu
barat daripada menghafal selawat kepada Nabi. Barangkali kita
menjadi malu bahawa anak-anak tidak mengetahui sedikitpun sejarah
Rasulullah SAW, kerana kita lupa dan lalai mengajari anak-anak
kita. Beliau tentu tersenyum.....
Barangkali kita jadi malu bahawa anak-anak kita tidak mengetahui
satupun nama keluarga Rasulullah SAW dan sahabatnya,
tetapi hafal di luar kepala mengenai anggota Power Rangers
atau Penyu Ninja.
Barangkali kita terpaksa menukar satu kamar mandi
menjadi ruang solat.
Barangkali kita teringat bahawa perempuan dirumah kita tidak
memiliki koleksi pakaian yang sesuai untuk berhadapan dengan
Rasulullah SAW. Beliau tentu tersenyum.....
Belum lagi koleksi buku-buku kita dan anak-anak kita..
Belum lagi koleksi kaset/CD kita dan anak-anak kita..
Belum lagi koleksi karaoke kita dan anak-anak kita..
Kemanakah kita harus menyingkirkan semua koleksi tersebut
demi menghormati junjungan kita?
Barangkali kita menjadi malu diketahui jun! jungan kita
bahawa kita tidak ke masjid meskipun azan berbunyi.
Beliau tentu tersenyum.....
Barangkali kita menjadi malu kerana pada saat azan Maghrib,
keluarga kita malah sibuk di depan TV.
Barangkali kita menjadi malu kerana kita menghabiskan
hampir seluruh waktu kita untuk mencari kesenangan duniawi.
Barangkali kita menjadi malu kerana keluarga
kita tidak pernah menjalankan solat sunat.
Barangkali kita menjadi malu kerana keluarga kita
jarang membaca Al-Quran.
Barangkali kita menjadi malu bahawa kita tidak
mengenal tetangga-tetangga kita.
Beliau tentu tersenyum.....
Barangkali kita menjadi malu jika Rasulullah SAW menanyakan
Kepada kita siapa nama tukang sampah yang setiap hari
lewat di depan rumah kita.
Barangkali kita menjadi malu jika Rasulullah bertanya
tentang nama dan alamat tukang penjaga masjid di tempat kita.
Betapa senyum beliau masih ada di situ.....
Bayangkan apabila Rasulullah SAW tiba-tiba
muncul di depan rumah kita...
Apa yang akan kita lakukan?
Masihkan kita memeluk junjungan kita dan mempersilakan
beliau masuk dan menginap di rumah kita?
Atau akhirnya dengan berat hati kita
akan menolak beliau berkunjung ke rumah kerana
hal itu akan sangat membuat kita kalut dan malu?
Maafkan kami, ya Rasulullah.....
Masihkah beliau tersenyum.....?
Senyum pilu, senyum sedih dan senyum getir.....
Oh, betapa memalukannya kehidupan kita
saat ini di mata Rasulullah.....
~md - moga ada manfaat untuk dikongsi

.:: Untung Rugi ::. - Rabu, 13 April 2005
Semua orang suka bila dapat untung. Terutama yang terlibat dengan dunia perniagaan. Kalau dapat untung, nampak lebar senyuman tokey dan tuan-tuan besar. Kalau bercakap dengan mereka pada masa macam ni, semuanya nampak tenang dan sedap didengar. Sebaliknya bila dalam kerugian, kening nampak berkerut, mata nampak mengecil dan membesar dalam kadar yang tidak sekata, mulut nampak muncung dan berkedut. Jangan cuba tanya soalan cepumas pada masa-masa sebegini.
Semalam saya gunakan pengangkutan awam untuk pergi dan balik dari tempat kerja. Pagi, isteri tumpangkan ke stesen LRT terdekat (terima kasih darling!). Belek-belek dompet, masih ada tiket store value RM20.00 LRT STAR, jadi tak payahlah beratur beli tiket baru. Tiket ni saya rasa agak lama saya tak guna, rasanya tahun 2004 dulu saya beli. Tak tahu berapa baki yang tinggal, bila cucuk masuk ke dalam mesin bacaan tiket, nampak baki ada RM1.80. Entah lepas, entah tidak ke Masjid Jamek ni.
Turun di stesen Masjid Jamek, saya masukkan tiket ke mesin bacaan di laluan keluar, dan nampak tiket tadi keluar lagi (bila tiket keluar dari mesin laluan keluar, bermakna masih ada baki). Emm, ada baki 10 sen, boleh guna ke lagi lepas ni?, hati berkata-kata. Dipendekkan cerita, bila balik saya cucuk lagi ke mesin dari Stesen Masjid Jamek, lepas. Bila sampai di stesen destinasi, cucuk, tiket ditelan dan penahan laluan berjaya ditolak. Yahoo!, lepas lagi!. Wah ini sudah untung. Pergi-balik naik LRT hari ni hanya kena RM1.80.
Tapi, bak lirik lagu P.Ramlee (Ku sangka panas hingga ke petang, Rupanya hujan di tengahari), rasa gembira beroleh 'untung' tadi tidak lama, bila sampai ke workshop untuk ambil kenderaan saya, Pomen beri bil yang perlu dibayar. Berkerut dahi tengok kos selenggaraan dan alat ganti yang ditukar. Terpaksalah saya beri 'untung' kepada Pomen pulak.
Begitulah resmi hidup, ada untung ada rugi, ada suka ada duka. Yang penting, kita pandai manfaatkan kelebihan dan ambil iktibar atas kekurangan.
~md - untung sabut timbul, untung batu tenggelam

.:: Bila dah Hilang ::. - Ahad, 10 April 2005
Wah, nampaknya dah jadi tabiat baru, kemaskini blog berbelas-belas hari sekali :-). Mari menggunakan excuse biasa - writer's block!. Tapi rutin melawat laman blog rakan-rakan memang tidak pernah miss walau sibuk macam mana sekalipun.
Minggu lepas handphone saya buat hal. Lepas habis recharge bateri, semua rekod dalam addressbook hilang sama sekali. Aduh!, terasa panik seketika. Bayangkan nombor-nombor telefon rakan-rakan yang jarang dihubungi dan nombor penting yang lain semuanya hilang!. Kalau yang ada alamat email, bolehlah diminta semula, tapi kalau yang tak guna email, innalillah la jawabnya.
Ada orang kata handphone saya kena virus. Macam tak caya, sebab saya tak pernah download software. Dunia sekarang ni serba-serbi nak disimpan dalam handphone/PDA. Bila dah jadi masalah macam ni, terus kalut tak tahu nak buat apa. Lain kali kena cetak satu salinan semua nombor-nombor tersebut. Kot-kot jadi sekali lagi, takde lah menggelabah.
Itu baru handphone buat hal, bagaimana pula jika elemen penting lain yang kita gunakan dalam kehidupan kita, turut buat hal. Katakan tangan buat hal, mata buat hal, atau anggota-anggota penting lain mula buat hal, saya pasti kita tentu kelam kabut dan tidak tentu arah. Yang terbaik ialah sentiasa ada backup plan atau cara alternatif kepada permasalahan yang dihadapi. Kalau tak dapat selesaikan juga, redha sajalah dengan ujian itu.
Minggu ni nak kena siapkan borang taksiran cukai pendapatan, dah lama tak berisi sebab nak tunggu penyata EA dari majikan isteri. Semua resit-resit pembelian buku, insuran pendidikan anak-anak, zakat dan lain-lain telah tersedia. Minggu depan ada program team-building di Bagan Lalang, nampaknya sepi lagilah blog ini :-).
~md - selamat bercuti kepada pelajar universiti

|