|
.:: Pena Maya Mencoret ::.
"Tanggungjawab adalah cabaran, bukan masalah!"
|
.:: Merancang ::. - 28 April 2004
Anda tentu pernah terbaca atau terdengar dengan petikan "Jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal". Sejauh mana pengetahuan kita untuk merancang sesuatu agar menjadi seperti yang kita hajati?. Kadang-kadang kita malas merancang sebab tidak tahu apakah rancangan kita itu boleh kita penuhi atau tidak. Namun, dari langsung tiada perancangan, lebih baik mempunyai sesuatu. Setidak-tidaknya, kita dapat mengandaikan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku.
Kita ambil satu contoh. Katakan kita berhajat untuk membeli sebuah rumah. Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mencapai cita-cita tersebut. Sudah tentu elemen utama ialah duit yang mencukupi, membuat tinjauan projek-projek perumahan yang menarik, pemilihan lokasi dan sebagainya. Semua aktiviti ini melibatkan masa, wang dan pengetahuan tentang perkara yang dilakukan. Di sinilah perancangan yang disandarkan dengan pengetahuan yang baik boleh memberikan keputusan yang diharapkan.
Sikap malas merancang apabila ingin membuat sesuatu hanyalah merugikan diri sendiri. Kita ambil satu contoh lagi, memandu untuk pulang ke kampung. Jika kita tidak merancang untuk menentukan masa berlepas, laluan pilihan, destinasi perhentian dan sebagainya, nescaya perjalanan yang bakal ditempuhi tidak menarik dan membosankan.
Jadi, mulalah merancang untuk membuat sesuatu. InsyaAllah, anda akan dapat melihat kebaikannya di kemudian hari.
Berikut ialah antara artikel berkaitan merancang.
~md - merancang untuk cari "financial freedom"
.:: Bakat dan Kehebatan ::. - 26 April 2004

Imej oleh:aftonbladet
Michael Schumacher semalam menang sekali lagi perlumbaan F1 di litar Imola, San Marino di mana beliau telah mencipta kemenangan sebanyak 4 kali sebelum ini di litar yang sama. Sebelum ini, beliau telah menyandang 6 kali gelaran pemandu tarbaik dunia, kini kelihatan beliau semakin ghairah meneruskan penguasaan untuk kali ke 7.
Apa yang menarik mengenai Michael ialah, beliau tahu selok belok sukan F1. Baik dari segi teknik pemanduan, "set-up" enjin, kerjasama dengan pasukan teknikal dan semangat juang yang tinggi. Walaupun dalam beberapa keadaan, dapat dilihat beliau seolah-olah tidak memberi ruang langsung kepada pencabarnya apabila di litar, ini adalah sebahagian dari resam perlumbaan F1 - jika anda ingin jadi yang terbaik, anda dan kereta anda haruslah dalam keadaan terbaik!.
Melihat Ferrari dan Michael Schumacher mendominasi F1 agak membosankan. Tiada apa lagi yang perlu dibuktikan, mereka telah memperolehi segala-galanya. Apa yang mewarnai F1 ketika ini ialah kemunculan pemandu-pemandu muda yang berbakat dan juga persaingan pasukan-pasukan kelas pertengahan (dari segi kemampuan enjin kereta dan bajet pasukan) yang bertarung dengan "big teams".
Sukan F1 adalah jenis sukan yang mahal (prestij?), di mana berjuta-juta ringgit diperlukan untuk menaja sesebuah pasukan. Petronas sebagai contohnya, sanggup menaja pasukan Sauber untuk menimba pengalaman bekerja dalam persekitaran teknologi permotoran yang maju dan serba mencabar dengan harapan dapat mempelajari dan mengembangkan teknologi ini di Malaysia. Diharapkan dari penglibatan Petronas dalam sukan ini, lebih banyak faedah nyata yang dapat diperolehi oleh negara dan rakyatnya, bukan sekadar berbangga melihat nama "Malaysia" terpampang di badan kereta F1 untuk disaksikan lebih 300 juta penonton di seluruh dunia.
~md - mengidam nak memandu kereta F1 :-)
.:: Penstrukturan Semula Organisasi ::. - 23 April 2004
Syarikat tempat saya bekerja ketika ini sedang sibuk dengan proses penstrukturan semula (organisational restructure). Jadi ramailah kakitangan yang disusun jawatan dan penempatan lokasi kerja mereka mengikut kemahuan syarikat. Ada yang gembira apabila mereka mendapat jawatan yang lebih baik (tinggi), dan tidak ketinggalan pula yang kecewa.
Bagi saya, kerja dan jawatan saya masih dikekalkan (buat masa ini), cuma bertukar boss. Harap-harapnya tiada masalah untuk bekerjasama dengan individu-individu dalam persekitaran organisasi baru. Bukan apa, kebanyakan masalah kerja kita biasanya berkaitan dengan masalah manusia, jadi memang saya agak "concern" dengan situasi baru ini.
Perancangan jangka pendek saya bagi menghadapi "arus baru" ini ialah untuk menyesuaikan diri secepat mungkin di samping mempastikan tugas utama saya tetap dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal-hal lain, mungkin perlu "tunggu dan lihat". Kalau keadaan memaksa, barulah "Plan B" diperlukan :-).
~md - memikul amanah adakalanya lebih berat dari memikul sebuah gunung
.:: Berita Suka, Berita Duka ::. - 20 April 2004
Hampir setiap hari kita akan mendapat khabar (berita). Berita adakalanya amat ditunggu dan dinanti sekiranya ianya begitu lama diharapkan. Namun adakalanya ingin dielakkan daripada menerimanya sekiranya ianya amat memedihkan. Sebagai manusia biasa, kita hendaklah bersedia dan redha dengan apa jua berita yang disampaikan atau diberikan kepada kita.
Sekiranya kita mendapat berita gembira, seharusnya kita memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah s.w.t. di atas nikmat yang dikurniakanNya. Sebaliknya, jika berita kurang gembira yang kita perolehi, aggaplah ianya satu nikmat dan ujian dari Allah agar kita lebih bersyukur dan insaf terhadap pemberianNya. Kita tidak harus menyalahkan takdir dan keadaan apabila mendapat sesuatu berita tidak baik. Seharusnya kita kuat, cekal dan waras apabila menghadapi keadaan sedemikian.
Ingatlah, gagal sekali bukan untuk gagal selama-lamanya. Jadikan kegagalan sebagai penguat semangat untuk menuju kejayaan.
~md - kadang2 fail jugak :-)
.:: Pat Pat Siku Lipat ::. - 16 April 2004
Dalam dunia ini, ada ketikanya kita perlu cepat dan cekap untuk mendapatkan sesuatu yang kita hajati. Tidak kiralah, samada hajat duniawi ataupun ukhrawi. Tapi kalau silap gaya, laba yang dicari, bala pula yang kita dapat.
Cepat dan cekap mempunyai erti berbeza dengan rakus dan gelojoh. Yang pertama tampak lebih bersusila, manakala yang kedua lebih tragis. Golongan yang pandai melakukan perkara dengan cepat dan cekap biasanya telah terlatih dengan budaya kerja yang sistematik dan berilmu. Mereka lebih bijak merancang, menyelidik dan mengenalpasti peluang yang ada.
Golongan rakus dan gelojoh pula lebih mementingkan nafsu dan kehendak yang tiada batasan apabila bertindak. Ini biasanya didorong oleh sifat takut orang lain dapat, hasad dan tidak mahu bertimbang rasa. Cuba kita perhatikan persekitaran kehidupan kita, lebih ramai orang yang cepat dan cekap atau lebih ramai orang yang rakus dan gelojoh?
"Wise man said - Only fools rush in" - petikan lirik lagu UB40
~md - sedang berlatih menguruskan projek dengan cekap (dan cepat?)
.:: Berhati-hati di jalanraya ::. - 15 April 2004
Minggu lepas ketika saya sedang dalam perjalanan ke pejabat, saya telah menyaksikan satu kemalangan jalanraya di hadapan mata (kurang 1 meter dari kenderaan saya). Sebuah lori 2 tan dari arah bertentangan membrek secara mengejut dan terbabas ke lorong bertentangan nyaris-nyaris menghempap sebuah motor di hadapan saya. Ianya berlaku begitu pantas, kurang dari 2 saat rasanya. Mujurlah tiada sesiapa yang tercedera, walaupun lori tersebut terbalik ke sisi dan merentang sebahagian jalan.
Insiden tersebut amat mengejutkan saya kerana sejenak sebelum ianya terjadi, saya berkira-kira untuk memotong motorsikal di hadapan saya tadi, dan "kalaulah" saya nekad berbuat demikian, mungkin saya akan dihempap lori berkenaan - na'uzubillah.
Dari pemerhatian saya (memandangkan saya memang nampak kenapa lori berkenaan terbabas), lori tersebut terlalu rapat dengan kereta di hadapannya, menyebabkan ia terpaksa membrek kuat apabila kereta dihadapannya membrek. Akibat hilang imbangan, insiden tersebut berlaku.
Memandu di Kuala Lumpur memang susah untuk mendapatkan "ruang selesa/selamat" antara 2 kenderaan, walaupun ketika belajar untuk mendapatkan lesen memandu, kita diberitahu untuk memberi ruang anggaran sebuah kereta antara kita dan pemandu di hadapan. Menjadi lumrah pemandu kita, apabila berlaku kemalangan, secara automatik aliran kenderaan menjadi perlahan kerana masing-masing "ingin meninjau apa yang berlaku, tapi tidak datang menolong".
Satu kajian oleh saudari Nurwati Badrulzaman dari USM dalam laporannya bertajuk Kemalangan Maut di Jalanraya dan Impikasinya Terhadap Kos Kehilangan Tenaga Kerja di Malaysia amat menarik untuk direnung. Untuk meilhat statistik kemalangan jalan raya yang dikeluarkan oleh PDRM, sila klik di sini.
~md - jalanraya bukan tempat lepaskan "tension"
.:: Learning Organisation ::. - 13 April 2004
Semalam saya berpeluang bertemu dengan sahabat baik saya yang bertugas sebagai
ketua unit R&D di sebuah syarikat penyedia perkhidmatan aplikasi (ASP - Application service provider) yang beribu pejabat di Kuala Terengganu. Pertemuan kami biasanya amat menarik, kerana kami akan dapat berbincang (berceloteh) dengan penuh minat berkaitan perkembangan peribadi dan pekerjaan kami. Kemudian, masing-masing akan memberi pandangan, kupasan dan tips-tips baru yang berguna.
Dalam banyak pertemuan, saya lebih banyak mengangguk dan terpegun apabila beliau menceritakan "penemuan" dan projek baru yang sedang beliau jalankan. Manakala cerita saya biasanya tidaklah menarik sangat :-). Apa pun, pada pertemuan semalam, saya diberikan satu "home work" untuk memahami apa itu "Learning Organisation". Anda tahu?.
Saya temui beberapa pautan berkenaan Learning Organisation yang diperolehi menerusi carian di Google. Sahabat saya berkata, produk yang sedang dipasarkannya sekarang amat sesuai untuk organsasi yang ingin mewujudkan "learning culture".
"A Learning Organisation is one in which people at all levels, individuals and collectively, are continually increasing their capacity to produce results they really care about." - Richard Karash.
~md - Suka berjumpa orang yang banyak ilmu
|